Malang Melayu sahaja dilabel rasis

- Advertisement -

AKHIR-akhir ini suara Melayu yang menyebut tentang hak mereka yang dirasakan makin terpinggir di negara Malaysia dilabelkan rasis. Namun bangsa lain yang mencabar Melayu dan menyatakan apa sahaja hak bangsa mereka tidak pula dikatakan rasis kerana atas nama hak asasi manusia.

- Advertisement -

Hal ini menunjukkan seperti Melayu tidak ada apa-apa hak, walaupun di tanah airnya sendiri yang tidak ada tanah lain lagi.

Malahan agama Islam dan Rasulullah S.A.W. yang menjadi hak kebanggaan Melayu boleh dihina, apatah lagi perkara lain yang lebih kecil. Apakah Melayu itu hendak dihilangkan di dunia dan ditenggelamkan dalam slogan bangsa Malaysia Baru?

Sedangkan bangsa lain yang ada negara asal usulnya tetap wujud di alam nyata, walaupun kakinya berpijak di bumi Malaysia dan hidup mati ditimbus di sini meskipun bukan asal usulnya.

Sebelum kita mengetahui nasib kedudukan Melayu, marilah kita fahami maksud perkataan rasis dan sejauhmana ketepatan penggunaan istilah tersebut ke atas nasib Melayu yang malang sehingga mahu dibebankan dengan jenama tersebut di atas bumi kelahiran bangsanya sendiri bersama Islam yang dianuti dan bersebati dengan dirinya.

Melayu menerima nasib ini kerana keIslamannya. Kalau Melayu tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis.

Adakah keadaan ini disebabkan oleh penyakit Islamofobia yang sedang merebak sekarang?

Perkataan rasis atau rasisme dalam Bahasa Inggeris disebut racism merupakan satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya.

Dalam Bahasa Melayu, konsep rasisme sangat berkaitan dengan perkauman dan semangat assabiyah mengikut istilah Islam apabila berlaku zalim terhadap kaum lain.

Perlu difahami bahawa kedudukan bangsa dalam Islam tidak boleh dinafikan kewujudannya, kerana mereka adalah ciptaan Allah, bukannya urusan manusia. Namun, mereka dikawal oleh ciri masyarakat madani mengikut kaca mata Islam yang mewajibkan adanya hubungan sesama manusia berbagai bangsa dengan adil dan saksama.

Bahkan Allah telah menetapkan tanah air Malaysia adalah tempat kelahiran bangsa Melayu dengan segala rumpunnya, sehingga dinamakan Alam Melayu dan Tanah Melayu.

Apabila bangsa Melayu menerima Islam menjadi anutannya, Islam itu bersebati dalam dirinya dan menjadi pegangan yang menjadi darah daging yang tidak berpisah dengan jasad. Maka dilafazkan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu serta melabelkan semua penganut Islam adalah Melayu tanpa mengira apa bangsanya, bahkan bangsa lain yang masuk Islam, menetap di negara ini dan bercakap Bahasa Melayu disebut masuk Melayu, walaupun Islam itu agama dan Melayu itu bangsa.

Sifat kemanusiaan dan dakwah kepada seluruh manusia yang dibawa oleh Islam, menjadikan Melayu menerima dengan mudah kedatangan bangsa Cina, India dan lain-lain yang diangkut oleh penjajah yang membawa agenda penjajahan bagi mewujudkan masalah masyarakat majmuk yang berbeza agama dan bangsa untuk melangsungkan cengkaman mereka demi kepentingan ekonomi.

Umat Islam yang menjadi musuh paling besar mengikut anggapan penjajah sehingga hari ini telah diperlakukan dan dipinggirkan daripada arus kemajuan yang menjadi rebutan mereka. Walaupun mereka sepatutnya berterima kasih kepada umat Islam dan tamadunnya, namun permusuhan terhadap Islam menjadikan Melayu tetap sebagai musuh utama kerana keIslamannya.

Di antara agenda penjajah adalah melalui penyusunan penempatan penduduk dan masyarakat dengan sengaja diletakkan Melayu Islam di kawasan pedalaman yang jauh daripada segala kemudahan dan kemajuan, menyebabkan mereka terus terpinggir.

Adapun kaum lain diletakkan di bandar dengan segala kedudukan dan kemudahan sebagai pusat aktiviti ekonomi yang lebih pesat dari segi perniagaan, perdagangan dan industri yang lebih maju daripada penduduk luar bandar yang hanya bergantung kepada pertanian sahaja. Maka orang Melayu dan rumpun Bumiputera lain terpinggir dan ketinggalan jauh ke belakang.

Dalam masa yang sama, sikap Melayu Islam yang anti penjajah menolak bekerja dengan penjajah dan melawan penjajah sejak mula kedatangannya. Berbeza dengan kaum lain yang dibawa datang ke sini dan bersedia menjadi pekerja dan hambanya, sama ada menjadi pegawai atau kuli. Ini menjadikan Melayu lagi terpinggir dengan sebab pentadbiran berada di tangan penjajah.

Keadaan penyusunan masyarakat dengan tasawur tersebut terus berlangsung dan susah dirungkai selepas kemerdekaan, khususnya melibatkan dasar dan sistem ekonomi bebas yang menggalakkan perlumbaan dengan rakus, sehingga menjadikan Melayu tidak diberi peluang dengan mudah oleh kaum lain dari segi amalannya.

Walaupun adanya peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dikatakan menjamin hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, namun tidak mampu mengejar bagi mendapat tempat yang sama.

Biarpun bangsa Melayu memegang kuasa politik, tetapi tidak mampu mempengaruhi perubahan ekonomi dengan mudah dalam suasana berkonsepkan politik kebebasan dan ekonomi bersaing yang tidak berakhlak dan bermaruah.

Masalah utama bukannya rasis, tetapi hak mereka yang dilihat telah dipinggirkan di atas buminya sendiri oleh pihak lain. Apatah lagi situasi sekarang turut dipengaruhi oleh kegelojohan parti kaum yang ekstrem untuk mendapat kuasa politik di hadapan mata melalui amalan demokrasi yang dipengaruhi oleh sifat perkauman melampau dan tidak mengenang budi Melayu Islam terhadap mereka.

Tambahan pula, digunakan pengaruh penguasaan ekonomi melalui projek hartanah dan perumahan di kawasan bandar yang makin membangun dan meluas menghimpit Melayu walaupun secara sah mengikut undang-undang, apatah lagi secara haram melalui rasuah politik dan pentadbiran. Keadaan yang tertekan semakin nyata menjadikan bangsa Melayu bersuara, kerana keadaannya tercabar.

Kini diumumkan pula kebenaran menjual rumah kepada makhluk asing kerana mengejar duit, pastinya Melayu juga menjadi mangsa.

Kalau Melayu rasis, maka sejak awal lagi bangsa pendatang tidak mendapat kerakyatan, hak berpolitik untuk menjadi ahli Parlimen, Menteri Besar atau Ketua Menteri, menguasai ekonomi, mengamalkan agama dengan bebas, menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan sehingga mencapai kedudukan sebagaimana yang ada ini.

Walaupun berlaku Peristiwa 13 Mei 1969, tetapi dapat disejukkan tanpa melarat dengan kejam, kerana sifat Islam yang masih ada dalam diri orang Melayu yang beragama Islam, supaya memperkenalkan Islam kepada bukan Islam tanpa paksaan. Malangnya konsep dakwah memperkenalkan Islam tanpa paksaan juga dicabarnya.

Ingat! Islam mengajar orang Melayu bahawa kesabaran itu ada batas sempadannya. Hanya Melayu yang terlalu bodoh dan lemah roh Islam serta hilang jiwa bangsanya sahaja tidak peka, sehingga hilang jati diri di atas tanah airnya sendiri.

Munculnya Muafakat Nasional dan Kongres Maruah Melayu menunjukkan kebangkitan Melayu tanpa mengira pembangkang, kerajaan, fahaman politik, NGO, ilmuwan dan mahasisiwa. Itu belum lagi dikerah seluruh rakyatnya sehingga ke pedalaman untuk bangkit mempertahankan hak. Bahkan dinyatakan tuntutan hak Melayu yang tercabar dan terhimpit sahaja tanpa menunjukkan permusuhan terhadap kaum lain.

Rasulullah S.A.W. juga bersabda melahirkan kebimbangan terhadap bangsanya sendiri walaupun Islam itu untuk seluruh manusia:

ويل للعرب من شر قد اقترب

“Kecelakaan menimpa bangsa Arab dengan sebab kejahatan yang hampir berlaku”.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Safar 1441 / 24 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -