Komunisme: Desak ROS kaji penubuhan DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen pembangkang mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengkaji semula penubuhan DAP ekoran penglibatannya secara langsung dalam penerbitan komik kontroversi yang menyebarkan propaganda Komunis.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen DAP, Tan Kok Wai serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching adalah antara pemimpin DAP yang terlibat secara langsung dalam penerbitan komik tersebut.

Selain itu, sebelum ini ujarnya, dilaporkan beberapa pemimpin DAP yang mempunyai jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri juga ditahan kerana disyaki terlibat dengan pertubuhan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Kita melihat bahawa kepimpinan DAP malah parti DAP terlibat secara langsung di dalam komik tersebut di dalam penerbitan dan sebagainya. Kalau kita lihat dari segi prakata ianya (ditulis) daripada Setiausaha Agung DAP, iaitu YB Lim Guan Eng sendiri. Malah penyerahan rasmi YB Tan Kok Wai juga terlibat di dalam kata pengantar.

“Buku ini diserahkan oleh Superman Hew (penulis komik Hew Kuan Yew) kalau tidak silap saya kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ada gambarnya keluar,” katanya pada sidang media anggota Parlimen Pembangkang di lobi Parlimen tadi.

Ulas Sabri, mereka memandang serius penerbitan komik BRI selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak pantas mengharamkannya kerana cuba mempromosikan idealogi Komunisme, Sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

“DAP ini trendnya adalah terlibat dengan kegiatan keganasan, terlibat dengan mempromosikan idealogi Komunis yang semuanya akan menjadikan negara kita tidak stabil dan sebagainya. Ianya boleh dianggap sebagai isu keselamatan negara.

“Jadi sebab itulah kita minta pihak polis sekali lagi menyiasat mereka yang terlibat dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kaji dari segi kesalahan DAP ini jika ianya bertentangan dengan Akta Pertubuhan, haramkan DAP!” katanya.

Ketua Whip PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan pula menyentuh desakan ini bukan berbentuk perkauman sebaliknya menekankan idealogi Komunis adalah bercanggah dan dilarang kepada sesiapa sahaja.

“Idealogi komunis adalah bercanggah dan dilarang kepada sesiapa sahaja sama ada orang Cina, India, Melayu kalau menganut idealogi Komunis, bersimpati dengan kegiatan Komunis adalah salah.

“Jadi, tidak ada rasis di sini, tidak kira sekolah Cina, Melayu mahupun Tamil tidak boleh perkara ini diedarkan kerana bercanggah dengan undang-undang negara,” terang Takiyuddin. – HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -