‘Kalau tidak minat jadi Exco, boleh beritahu MB’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sikap Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Dato’ Zamri Yusuf yang sering mengelak untuk menjawab soalan Adun pembangkang amat dikesali dan tidak menghormati dewan sebagai tempat persidangan.

- Advertisement -

Demikian kata Muhammad Sanusi Mohd Nor (PAS-Jeneri) yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap Exco itu yang sering memberi alasan untuk mengelak menjawab soalan berhubung portfolionya.

“Ini bukan pertama kali, sejak beberapa kali sidang dia bersikap begini. Apa alasannya tidak boleh dedahkan kepada umum.

“Dewan tempat bersidang dan wakil kerajaan perlu menjawab untuk kepentingan awam. Jika kerajaan mendapati ada sesuatu yang tidak boleh didedahkan kerana ada rahsia tertentu yang tertakluk di bawah akta rahsia rasmi, sila beritahu dewan supaya adun-adun berpuas hati,” luahnya.

Tegas Ketua Pembangkang itu lagi, kalau soal pembiayaan lima LRA, ia bukan rahsia kerana telah diumumkan sejak beberapa tahun lalu cuma persoalannya kenapa ada perbezaan antara jawapan soalan bertulis dengan teks pembentangan belanjawan.

Kata Sanusi lagi, penjelasan kononnya tiada sebarang campur tangan luar berkenaannya seolah-olah menganggap orang lain buta atau bisu sedangkan maklumat berlegar di hujung jari.

“Piagam ALP yang disebutnya dalam ucapan pergulungan bukan lesen untuk dia masuk dalam mesyuarat Human Resources Syarikat untuk tentukan pelantikan kakitangan tertentu. Itu salah satu campurtangan dalam pentadbiran. ALP SADA tidak ada kuasa eksekutif. Ia hanya ada pada CEO,” katanya lagi.

Justeru itu mereka perlu akur keuntungan SADA yang makin susut secara drastik sebahagiannya adalah kerana pengurusan sudah muak dengan campur tangan politik di dalam pentadbiran.

Sebab itu katanya lagi, sesuatu isu yang dibangkitkan di dewan perlu dijawab dengan sempurna supaya kita dapat bergerak ke depan tanpa perlu berulang kali membangkitkan hal yang sama setiap kali sidang berlangsung.

“Jika Exco mengelak untuk menjawab, dia tidak melaksanakan tanggung jawabnya dengan sempurna, sedangkan dia dibayar gaji untuk bertanggungjawab ke atas portfolio di bawahnya.

“Kalau tidak minat jadi Exco, dia boleh beritahu MB supaya dapat ganti dengan adun lain yang lebih berkebolehan. Exco perlu gentleman, jangan jadi seperti darai,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -