Kaji mekanisme moden tangani banjir

- Advertisement -

KEADAAN hujan lebat ketika ini amat merisaukan penduduk sekitar Kuala Lumpur yang membawa kepada berlakunya fenomena banjir kilat. Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Wilayah Persekutuan (WP) menzahirkan rasa simpati dan bimbang terhadap apa yang sedang berlaku ketika ini yang mana ianya telah menjejaskan persekitaran dan mengancam keselamatan penduduk di kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya.

LATAS PAS WP melihat bahawa kekerapan hujan lebat ini menyebabkan sistem perparitan dan longkang yang sedia ada tidak dapat menampung air hujan dan mengakibatkan air naik melimpah ke atas jalan raya, bangunan kedai dan perumahan.

Tambahan pula, kawasan ibu kota Kuala Lumpur tidak mempunyai banyak sungai semula jadi yang boleh membantu mengalirkan air hujan.

Antara faktor lain yang menyebabkan keadaan ini juga adalah terdapat parit-parit dan longkang-longkang yang tersumbat tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berwajib yang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar lalu sering berlakunya banjir.

Bukti jelas bencana banjir kilat yang telah berlaku pada 14 Oktober 2019, di mana banjir lumpur turut berlaku dan memasuki rumah penduduk di Segambut Dalam.

LATAS PAS WP menyarankan, sudah sampai masanya pihak DBKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran mengkaji dan menghasilkan satu mekanisma atau satu permodenan terhadap sistem perparitan dan saliran longkang bagi menyelesaikan masalah ini.

Satu usaha mendidik dan mengalakkan masyarakat  bagi meningkatkan kesedaran terhadap betapa pentingnya pencegahan daripada membuang dan membiarkan sampah sarap bertaburan di parit, longkang dan sungai juga perlu diperkasakan.

LATAS PAS WP mencadangkan supaya satu skim ‘rewards’ diberikan kepada setiap unit sampah yang dikutip dan dikumpul oleh masyarakat supaya dibeli oleh ‘recycle factory’ dengan harga yang berpatutan.

Dengan cara ini pihak kilang tidak perlu kos pekerja dan kos lori untuk mengutip sampah kitar semula. Cukup hanya dengan mewujudkan satu ‘station’ bagi setiap warga pengumpul sampah kitar semula datang sendiri menghantar hasil kutipan serta menuntut  bayaran.

Dengan cara ini sampah yang ada di merata tempat dengan sendirinya akan dikutip dan tabiat membuang sampah merata juga akan lenyap kerana masyarakat sudah tahu nilai setiap unit sampah.

Maka masalah parit, longkang dan sungai tersumbat yang menyebabkan banjir kilat akan dapat diselesaikan tanpa melibatkan kos yang tinggi serta kesedaran sivik rakyat  akan meningkat sama.

HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar
PAS Wilayah Persekutuan
24/10/2019

Rujukan:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2431115717007166&id=100003262858836

https://www.sinarharian.com.my/article/52136/BERITA/Nasional/Ibu-negara-dilanda-banjir-kilat-tanah-runtuhHARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -