Bersatu perlu utamakan mandat rakyat

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengutamakan mandat yang diberi rakyat kepada mereka dalam menghadapi kemelut diantara DAP dan Bersatu itu, kata Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

- Advertisement -

Menurut beliau, Bersatu mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mempersoalkan atau mengkaji semula hubungan di antara DAP memandangkan parti di bawah pimpinan Perdana Menteri itu mempunyai alasan yang kukuh untuk bertindak sedemikian.

Katanya, hal ini kerana beliau melihat DAP secara sangat tidak berdisiplin dalam komponen PH menyerang di antara sesama mereka.

Beliau berkata demikian mengulas kepada kemelut yang melanda kedua-dua parti tersebut yang dipercayai makin panas apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu dilaporkan membuat kenyataan mengatakan bahawa gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.

“Jadi inilah sikap DAP yang telah pun dialami oleh PAS ketika mana mereka berada di dalam Pakatan Rakyat dahulu, iaitu parti yang tidak ada disiplin, parti yang hanya mementingkan kumpulannya dan parti yang tidak menjaga sensitiviti rakyat masyarakat majmuk ini.

“Jadi saya sarankan Bersatu perlu terus mendesak DAP ini, supaya tidak bersama dengan mereka dalam parti Pakatan Harapan, dan saya memohon untuk Bersatu dalam ketika mana mereka berada dalam kerajaan, perlu melihat mandat rakyat sebagai keutamaan untuk mereka bekerja,” ujarnya.

Katanya ketika ditemui Harakah setelah usai menghadiri sidang media blok pembangkang mengenai komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Tarmizi juga berharap agar Bersatu agar tidak akan mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat kepada PH untuk memerintah dengan mempertahankan dasar-dasar yang telah disepakati khususnya berkenaan kontrak sosial dan sebagainya.

“Dia (Bersatu) perlu menggunakan segala ruang di dalam kerajaan untuk mempertahankan dasar-dasar yang telah disepakati, khususnya soal kontrak sosial dalam soal hubungan diantara kaum dan juga yang paling penting adalah untuk tidak membenarkan anasir-anasir luar masuk dalam negara kita.

“Contoh yang besar iaitu, soal ideologi komunis yang sedang diserap masuk secara halus oleh DAP, dan langkah-langkah mereka (DAP) termasuklah penyebaran komik yang berlaku di sekolah-sekolah dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pimpinan Bersatu termasuk Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga telah memberi amaran kepada Ronnie Liu berhubung kenyataannya dan memohon pimpinan DAP mendisiplinkan ahlinya.

Bagaimanapun, Presiden PH, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau senada dengan pendapat Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang berpandangan bahawa kenyataan Ronnie Liu hanyalah pendapat peribadi sahaja. – HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -