‘The Iron’…Mike, Tysonnnnn…!!!

- Advertisement -

BEGITULAH kebiasaannya dilaungkan nama peninju terkemuka dunia itu suatu ketika dahulu oleh pengacara apabila memperkenalkan nama yang akan bertarung di gelanggang. Dan gegak gempita di tepi seluruh penjuru dewan pertandingan itu bersorak, membayangkan betapa Mike Tyson sangat diminati.

Sangat dikenang kemenangan Mike Tyson di awal karier beliau dicabar bekas juara Heavyweight, Larry Holmes dengan kemenangan TKO. Tyson yang mengaku bahawa dia membalas dendam bagi pihak Muhammad Ali yang tewas kepada Holmes tahun 80, yang kemudiannya membawa kepada persaraan Muhammad Ali selepas kalah sekali lagi kepada Trevor Berbick.

Terlalu banyak kemenangan TKO yang diperolehi Tyson. Serangannya yang keras, pantas dan begitu berani menerkam lawan, menakutkan lawan, menyebabkan Tyson dilihat sangat kuat, sukar ditewaskan. Tyson sentiasa menjadi pilihan bagi memenangi setiap perlawanan oleh peminat-peminat tinju dunia. Dan harga bagi kekalahannya semakin besar ditawarkan.

Menjadi kebiasaan lawannya ditumbangkan pada bawah daripada lima pusingan. Tidak sedikit juga lawan yang jatuh pada pusingan pertama lagi. Tyson sentiasa menguasai perlawanan. Setiap lawannya, amat berdebar bila berhadapan dengannya. Sememangnya penampilan beliau amat dinantikan, menyaksikan dia menumbangkan lawannya, amat memuaskan hati penonton.

Saya teringat kepada seorang ustazah saya ketika di sekolah Menengah dahulu. Ustazah Rafeah. Dia agak lucu. Dia memberitahu kelas suatu hari selepas beberapa hari perlawanan Tyson, betapa bencinya dia dengan Tyson. Apa tidaknya, baru saja nak ambil bekas kacang dekat dapur, balik semula depan TV, dah KO. Nak makan kacang pun tak sempat, bertinju sangat itu, antara bebelan Ustazah Rafeah yang saya ingat.

Begitulah cepatnya tindakan Tyson semasa membelasah lawannya sehinggakan tidak sempat peminatnya mahu makan kacang, untuk menikmati perlawanan dan tidak sempat meraikan kemenangan kalau tinggalkan sekejap TV. Kecewa rasa peminat, kalau tersalah mahu ke tandas sakit perut yang amat sangat, maka rugilah dia ketika itu.

Tapi, itu dahulu, zaman itu, sewaktu pertengahan 80-an sehingga awal 90-an. Sudah lama semenjak Tyson menggantung sarung tangannya, di mana-mana gelanggang tinju, tiada lagi kita dapat menonton kepantasan tumbukan ceduk yang sangat bertenaga seperti Tyson yang biasanya akan menjadi pil tidur bagi lawannya, tenang mereka berbaring sambil terlentang di atas gelanggang. Sungguh saya merindui saat-saat itu. Kecepatan dan kepantasan Tyson.

Dan, semalam, saya sangat bernasib baik dapat menikmati kembali detik-detik kepantasan sebagaimana zaman kegemilangan Tyson dahulu. Sungguh, gembira hati ini bukan kepalang. Walaupun tidaklah sepantas tumbukan KO Tyson, tetapi ia amat mengujakan, mengembalikan nostalgia dahulu. Baru nak bersorak, dah habis.

Ianya berkenaan bagaimana tuduhan kepada bekas Timbalan Presiden PAS di bawah AMLA. Pada mulanya ia dikaitkan dengan isu rasuah RM90 juta yang dikata diterima PAS. Sangat gembira mahachai menerima berita ini. Sudah siap membuat kiraan siapa pula yang akan kena selepas ini. Kemudiannya setelah lebih 30 pertuduhan dibacakan, sehinggalah Nasharudin dijamin, tiada satupun ia terkait dengan PAS. Pantas sungguh SPRM, tak sempat mahachai nak teruskan bersorak, dah kena TKO. Senyap terus, nak makan popcorn pun tak sempat. Diam terus.

Saya bayangkan sekarang ini dalam kes bekas Timbalan Presiden PAS, seperti mereka, penyokong PH ini, seakan sedang mengalami sembelit yang serius, kemudian ada suara cemas memanggil-manggil namanya berkali-kali dari luar jamban. Dia dalam dilema, mahu menjawab atau terus meneran  ‘barangnya’ yang sedang dalam perjalanan keluar. Tapi yang pasti dia diam, menahannya dengan penuh perasaan bercampur-baur. Kesian kan?

MOHD NASIR ABDULLAH
23 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 23/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -