Sukaneka PASTI Zon Manjoi meriah

- Advertisement -

TAMBUN: Sukaneka PASTI Zon Manjoi telah berlangsung meriah melibatkan 206 peserta berumur 4 hingga 6 tahun di Padang Lintau, Kampung Tengku Hussein, Manjoi, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Semua mereka masing-masing mewakili empat PASTI dalam Zon Manjoi iaitu PASTI Amal Islami, PASTI Nurul Iman, PASTI Al-Harakiah dan PASTI Al-Fathonah.

PASTI Amal Islami, Kampung Manjoi dipilih sebagai pasukan perbarisan terbaik dan PASTI Al-Harakiah, Kampung Dato’ Ahmad Said (KDAS) 2 banyak mengungguli tempat pertama pelbagai acara.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri dalam ucapan perasmian berpesan supaya menjaga kesinambungan Tarbiyah Islamiyah anak-anak yang telah dididik dengan Al-Qur’an, Hadis, Akhlak dan Adab.

Beliau yang juga calon Dun Manjoi PRU14 menegaskan komitmen PAS dalam menyediakan sistem pendidikan terbaik berteraskan Islam menjadi keutamaan pelbagai peringkat termasuk di Kawasan Tambun.

Ianya maklum beliau, dibuktikan melalui banyaknya institusi pendidikan yang berlanjutan daripada pra persekolahan di PASTI iaitu 18 Cawangan di Tambun, selain sekolah rendah (SRITI) dan sekolah menengah (SMITI).

Malah katanya lagi, di peringkat pengajian tinggi juga sudah ada di bawah seliaan PAS antaranya Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) yang kini beroperasi di Gombak, Selangor.

Sebelum pertandingan bermula, para peserta bersama melafaz ikrar yang telah dipimpin oleh adik Umar Abdul Qawiyy Mohamad Kamal daripada PASTI Amal Islami, Kampung Manjoi.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Mohd Fariq Izwan Md Bahrin dan pimpinan Pemuda PAS Tambun hadir bertugas menjayakan program tahunan tersebut.

Sementara itu, Sukaneka PASTI bagi Zon Meru, Zon Klebang dan Zon Hulu Kinta akan dilangsungkan minggu hadapan di lokasi berasingan. – HARAKAHDAILY 23/10/2019

- Advertisement -