Sokong haram komik: Tangkap, hukum yang terlibat

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mewartakan Perintah Larangan bertarikh 23 Oktober 2019 terhadap tiga (3) penerbitan bertajuk “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” serta versi bahasa Inggeris “Belt & Road Initiative For Win-Winism” dan versi Bahasa Cina “互利共赢的 一带一路 ” melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

Langkah KDN ini dianggap tepat pada masanya apatah lagi memandangkan kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan idealogi Komunisme dan Sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang Komunis serta mengandungi mesej halus membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan Komunis. Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Langkah ini juga sekali gus menolak usaha 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk beberapa Adun yang telah membela penghasilan komik ini beberapa hari lepas.

DPPM juga meneruskan desakan agar pihak polis juga membuka siasatan terhadap semua pihak yang telah terlibat dalam menghasilkan komik ini bermula dari pelukis karikatur komik ini iaitu Hew Kuan Yau dan Chong Po Ling bahkan juga individu yang telah menulis kata-kata aluan di dalam komik ini iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Tidak ketinggalan juga siasatan polis juga boleh dijalankan terhadap pihak-pihak dalaman Kementerian Pendidikan yang menjadi dalang sehingga membolehkan komik ini diedarkan di sekolah-sekolah rendah seluruh negara.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

YB AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -