Pemimpin politik usah ganggu universiti

- Advertisement -

KANGAR: Pemimpin politik diingatkan supaya tidak mengganggu autonomi universiti berkaitan isu seorang pelajar yang mencemarkan majlis istiadat konvokesyen baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Farizwan Azhar berkata, tidak wajar mana-mana pemimpin politik cuba mengganggu gugat autonomi universiti terbabit.

“Pemimpin politik jangan cuba untuk menghalang sebarang penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah memalukan institusi keilmuan yang terulung di negara kita.

“Wong Yan Ke bukan saja berkelakuan biadab semasa majlis konvokesyen malah turut menghasut graduan lain untuk mendesak Naib Canselor untuk meletak jawatan,” katanya di sini.

Pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-59 baru-baru ini Yan Ke mengangkat plakad di atas pentas yang tertera perkataan ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ selepas menerima skrol.

Pelajar terbabit juga dikatakan melaung perkataan ‘ini tanah Malaysia’.

Ekoran itu pegawai UM membuat laporan polis terhadap pelajar terbabit.

Bagaimanapun pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dilapor mendesak Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap Yan Ke. – HARAKAHDAILY 23/10/2019

- Advertisement -