Pembangkang kesal usul komik ditolak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangkang berasa kesal dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat apabila menolak usul persendirian bagi membahaskan berhubung pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI) yang didakwa mempunyai propaganda komunis.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, usul tersebut dibentangkan untuk dibahaskan supaya pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera dengan mengharamkan komik tersebut.

“Jadi kita kesal dengan keputusan Speaker kerana kita lihat bahawa komik ini sepatutnya tidak dibenarkan diedarkan dan perlu diharamkan berikutan buku (komik) ini mempromosikan ideologi sosialisma komunisma China.

“Dalam muka surat 10 (komik itu) jelas mengatakan bahawa kejayaan China merupakan bukti bahawa model ekonomi sosialisma mempunyai daya saingan abad ke-21 dan model yang sepatutnya menjadi inspirasi kepada negara lain.

“Jadi, jelas buku ini mempromosikan ideologi komunis,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Jelasnya, pengedaran komik tersebut di sekolah-sekolah seolah cuba untuk menerapkan ideologi komunisma di kalangan pelajar sekolah.

Malahan katanya, komik tersebut cuba mengambarkan ketidakadilan kepada umat Melayu Islam di negara ini apabila mengatakan 18 peratus rakyat menyokong jemaah Islamiah yang dikatakan sebagai ekstremis.

“Kalau nak menyebutkan tentang sokongan kepada golongan ekstremis ini, masyarakat India yang menyokong LTTE misalanya, tidak pun dimasukkan dalam buku ini, seolah-olah memberikan gambaran bahawa umat Islam menyokong kumpulan ekstremis di negara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu turut mendakwa berkemungkinan komik tersebut ada perkaitan dengan DAP kerana kata penghantarnya oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul tersebut untuk dibahaskan perpandukan aturan mesyuarat 18 berikutan ia masih dalam siasatan.

Terlebih dahulu, Dato’ Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) bangun membentangkan Peraturan Mesyuarat 18(1), untuk membahaskan mengenai pengharaman komik propaganda (Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama) di Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 23/10/2019

- Advertisement -