BMF: Asmuni aibkan umat, rendahkan Mufti

IPOH: Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria menyifatkan Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi telah bertindak tidak matang dan mengaibkan umat Islam untuk beramal dengan perintah ‘Halalan Thoiyiban’.

Advertisement

Malah kesali beliau, reaksi Asmuni terhadap kempen ‘Buy Muslim First’ adalah satu penghinaan dan kejian, selain telah merendahkan kedudukan Jabatan Mufti yang bergerak secara terus di bawah seliaan Sultan Perak.

Asmuni awal minggu ini melarang BMF dijalankan di masjid seluruh Perak dan menuduh kempen tersebut mempunyai tujuan politik, selain turut ‘mentafsir’ ayat ‘Halalan Thoiyiban’ sebagai halal yang baik bukan mesti produk Muslim.

Malah, Adun Manjoi dengan memegang portfolio agama dalam Kerajaan Perak itu turut bertindak memanggil Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim yang dijadualkan merasmi BMF di Masjid An-Nur, Hulu Kinta baru-baru ini.

“Beliau sebagai umat Islam perlu meletakkan Islam sebagai satu matlamat jelas. (Begitu juga) Jabatan Mufti (perlu beliau sedari) bergerak terus di bawah seliaan Tuanku Sultan.

“Jabatan ini tidak berada di bawah penguasaan politik. Exco Agama cuma ditugaskan sebagai Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan.

“PAS Perak bersama menyokong penuh tindakan Jabatan Mufti untuk menyokong dan menjalankan kempen BMF ini demi menjana ekonomi umat Islam secara lebih drastik dan berkesan,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan Pengerusi PAN Perak itu tergesa-gesa dan tidak mustahil akan membuat ‘Pusingan-U’ nanti. – HARAKAHDAILY 23/10/2019