Bentang kesan projek PSR terhadap alam sekitar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa supaya menilai dengan teliti dalam memberi kelulusan kepada projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) berikutan akan memusnahkan alam sekitar serta ekosistem di laut.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, projek ini melibatkan 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Katanya, projek PSR tersebut didakwa akan menjejaskan lebih 5,000 nelayan di negeri itu.

“Menurut kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam dewan yang mulia sebelum ini, bahawa PSR akan menjejaskan lebih 4,900 nelayan dan 1,422 nelayan tradisional di Zon A.

“Lebih 51,100 tan metrik bernilai RM550 juta setahun pendaratan perikanan tangkapan marin di Pulau Pinang akan terjejas akibat kemusnahan kekal.

“Manakala, lebih 511 penternak ikan marin yang berjumlah 45,742 tan metrik anggaran bernilai RM1.67 bilion setahun dan operasi perikanan rekreasi di sekitar tapak projek turut terjejas dianggarkan bernilai RM5.3 juta setahun,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meminta supaya kerajaan membentangkan kesan projek tersebut terhadap alam sekitar dan ekosistem lain kepada umum bukan hanya pihak yang terlibat sahaja.

Jelasnya, merujuk kepada laporan yang dibuat oleh badan-badan alam sekitar yang menyatakan bahawa projek PSR itu akan menyebabkan berlaku hakisan sehingga ke Perak Utara dan juga turut menjejaskan sehingga ke Pulau Langkawi.

Susulan daripada itu, beliau meminta supaya kerajaan melihat secara keseluruhan kesan jangka panjang menjangkau kawasan projek kerana sifatnya yang menjejaskan alam semula jadi, malah menjejaskan sumber ekonomi sebahgaian penduduk di negeri itu. – HARAKAHDAILY 23/10/2019

- Advertisement -