O’Myrah cungkil kesedaran kesihatan mental

- Advertisement -

IPOH: Ameerah Negeri Perak telah mengadakan program Open Mic Ameerah (O’Myrah 1.0) yang mengupas isu kesedaran kesihatan mental bertempat di Padang Polo, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Exco Penerangan Ameerah Perak, Nurul Farhana Omar berkata, O’Myrah adalah program penerangan bagi meningkatkan kefahaman dan amalan budaya politik matang dan sejahtera bertunjangkan Islam.

Selain itu menurutnya, program ini membawakan isu-isu semasa yang dekat dengan wanita khususnya wanita muda secara penerangan santai dan isu-isu inklusif untuk golongan tersebut.

“Seperti kesihatan, pengurusan ekonomi dalam rumah tangga, kesejahteraan mental, kekeluargaan isu perundangan berkaitan wanita sesuai dengan peranan Ameerah sebagai suara wanita muda,” ujarnya.

Antara panelis yang di tampil khas bagi menjayakan program ini ialah Pegawai Perubatan Psikiatri, Dr Nur Atikah Razali yang mengupas topik Kesedaran Kesihatan Mental.

Beliau menyebutkan bahawa, hasil tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan, menjelang tahun 2020, seramai 30 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Berikutan kajian tersebut beliau mengharapkan apabila berlaku simptom-simptom kemurungan seseorang itu perlu medapatkan bantuan serta rawatan sewajarnya dengan segera.

“Seperti kurang tidur, tidak bertenaga, tidak berminat melakukan perkara yang disukai sebelum ini, berasa putus harapan, kurang selera makan serta mengalami pemikiran untuk mencederakan diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Ameerah Perak, Nuradilla Mohd Kamal juga telah memberi pengisian mengenai Solusi PAS dalam membudayakan kehidupan sejahtera.

“Salah satu punca masalah kesihatan mental adalah tekanan kos sara hidup yang tinggi. Saya sarankan agar masyarakat tidak melihat isu ini sebagai sinikal serta mengambil berat antara satu dengan yang lain,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Ameerah Kawasan Tambun turut menyarankan anak muda mengimbangi gaya hidup dengan berbelanja mengikut kemampuan sebagaimana yang digariskan Islam.

Program tersebut di akhiri dengan taujihat Ketua Penerangan Muslimat PAS Perak, Ustazah Hasna’ Ab Samad mengenai pentingnya peranan memilih pemimpin yang adil dan mengutamakan rakyat.

“Kita mesti mencontohi Umar Abd Aziz, yang meletakkan keutamaan pada rakyat. Kita juga mahukan pemimpin yang berani memperjuangkan Islam. Tidak sehingga kempen BMF pun dihalang daripada dibicarakan di masjid-masjid atas alasan yang tidak rasional,” ulasnya tegas.

Selain pengisian berbentuk sembang santai, O’Myrah 1.0 turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh MusMedik dan Ujian Saringan Kesihatan Mental (DASS) yang dijalankan oleh kaunselor berdaftar. – HARAKAHDAILY 23/10/2019

- Advertisement -