Let’s Stay Fit Muslimat Jepak diadakan meriah

- Advertisement -

BINTULU: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bintulu telah menganjurkan program Let’s Stay Fit dan Bah Zumba yang diadakan di Balai Raya Jepak, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program kesukanan bersama masyarakat ini menjadi satu lagi inisiatif Muslimat PAS dalam menvariasikan medium dakwah, sekali gus merakyatkan PAS kepada semua.

Malah, ianya juga sebagai menyahut seruan kerajaan sempena kempen Bulan Sukan Negara dalam mempromosikan kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Paling utama, acara yang dilangsungkan ini disuntik dengan kefahaman Islam yakni bersukan sebagai salah satu sunnah selain berzumba dalam keadaan syariat terpelihara.

Ketua Muslimat PAS Negeri Sarawak, Ustazah Juliani Adin hadir memotivasikan peserta dengan mengaitkan sunnah bersukan dengan keajaiban pergerakan solat.

Manakala Ketua Muslimat PAS Bintulu, Fatimah Junaidi pula mengaitkan kesihatan jasmani sebagai antara pencegahan daripada penyakit, di mana juga menjadi sebahagian ajaran Islam.

Harapannya juga, dengan program ini masyarakat memahami ‘al-thabat wa al-murunah’ yakni Islam bersifat tetap pada hukum, namun fleksibel pada pelaksanaan.

Turut memeriahkan majlis yang dihadiri 50 peserta ini adalah acara cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah. – HARAKAHDAILY 22/10/2019

- Advertisement -