Exco Agama tidak patut canggahi pihak Mufti

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Exco Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi seharusnya menunjukkan rasa hormat dalam menangani hal ehwal Islam dan bukannya dengan bersikap mempertahankan ego dirinya.

- Advertisement -

Teguran dan nasihat itu disuarakan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kawasan Kuala Kangsar, Ustaz Izam Jamiri Baharin berikutan reaksi Asmuni terhadap penganjuran kempen Buy Muslim First(BMF).

Perkara tersebut menjadi ulasan beliau dalam Forum Studio Live Penerangan yang mendapat lebih 2,000 tontonan selama sejam setengah siaran langsung dari Kompleks PAS Bukit Chandan, di sini kelmarin.

Forum bertajuk “Pentadbiran Negara, Urusan Umat Islam?” dimoderatorkan Shahril Jamil Baharin itu turut menampilkan Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Bakri Rahim selaku panel.

Tidak sekadar larangan BMF di masjid seluruh negeri, Asmuni juga bertindak memanggil Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim yang dijemput selaku perasmi kempen itu supaya berjumpanya.

Kata Ustaz Izam, sikap Asmuni bukan sahaja tidak wajar, malah bercanggah dengan saranan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang memberikan sokongan terhadap kepentingan umat Islam ini.

Lebih dari itu kesali Ustaz Izam, apabila Exco Agama tersebut menunjukkan sikap tidak hormat kepada institusi agama serta tidak beradab apabila memanggil pihak Pejabat Mufti untuk menemuinya.

“Saya mohonlah agar YB Asmuni buangkan ego dan apalah salahnya YB sendiri yang pergi bertemu dengan Timbalan Mufti untuk mendapat penjelasan. Di mana rasa hormat kita pada Mufti?” soalnya yang berharap tidak berlaku pertembungan antara pihak penjaga hal ehwal agama.

Sementara itu, menurut Ustaz Bakri Rahim, BMF bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia baru mendapat kesedaran mutakhir ini di mana kempennya mesti dipergiatkan bersama sokongan institusi masjid. – HARAKAHDAILY 22/10/2019

- Advertisement -