Ameerah, Briged Teluk Intan anjur Jom Memanah

TELUK INTAN: Ameerah dan Briged Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan program Jom Memanah dalam menyemarakkan kegiatan sukan dan rekreasi bertempat di Kompleks PAS Kawasan Teluk Intan (KOMPASTI), di sini kelmarin.

Advertisement

Program mensasarkan remaja dan wanita berumur 15 tahun ke atas ini telah mendapat sambutan baik apabila 40 peserta dan peminat sukan memanah daripada masyarakat sekitar kawasan Teluk Intan mengambil bahagian.

Program dimulakan dengan taklimat oleh Jurulatih Kelab Al-Bidayah Wan Hinayah Archery Club (ABWNAC) Perak, Mohd Sofi Salleh mengenai skop sukan memanah tradisional termasuk teknik asas serta harga alatan.

Beliau juga banyak memberikan beberapa panduan penting sebagai motivasi untuk para peserta untuk terlibat dengan sukan sunnah ini secara konsisten.

Menariknya, taklimat sangat santai ini turut menampilkan anak beliau, Farah Ain Mohd Sofi yang sedang menjalani latihan pemilihan untuk mewakili SUKMA Negeri Perak pada tahun depan.

Setiap peserta diberi peluang merasai pengalaman memanah dengan teknik yang betul mengikut kumpulan yang telah ditetapkan sambil berukhuwah sesama mereka.

Program diselitkan juga dengan penerangan pengenalan mengenai peranan Ameerah yang disampaikan Ketua Ameerah Teluk Intan, Iffah Kamilah Khushairi.

Turut hadir Komanden Jabatan Amal  Teluk Intan, Ustaz Hafiz Fathil dan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Ustazah Robiaton Abas. РHARAKAHDAILY 22/10/2019