Umat mesti bersatu hindari ditindas musuh Islam

    - Advertisement -

    GOMBAK: Kesatuan umat kini menjadi kemestian ke arah mempertahankan agama Islam dan dasar-dasar negara yang sedang diancam, demikian seru Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

    - Advertisement -

    Peringat beliau, menjadi kewajiban kepada umat untuk bersatu dalam banyak aspek, sekali gus memimpin manusia sejagat, selain menghindari perpecahan yang akan memungkinkan ditindas oleh musuh-musuh Islam.

    Tetapi katanya, usaha itu mesti diterjemahkan dengan asas politik damai sebagaimana komitmen PAS menerusi pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan terbaru memeterai Piagam Muafakat Nasional.

    Semua itu jelas beliau, demi merealisasikan agenda Penyatuan Ummah dengan serta menyerlahkan kebenaran Islam sebagai agama petunjuk dan Rahmatan Lil ‘Alamin dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja “Islam Memimpin Perpaduan” pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini semalam.

    Sekitar 400 ahli PAS mewakili 13 PAS Kawasan Wilayah Persekutuan memenuhi Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor itu termasuk mengikuti satu lagi pembentangan juga dari AJK PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad.

    Majlis bertujuan memperkasa gerak kerja dan penyatuan fikrah ahli ini telah disusuli dengan perbahasan oleh wakil dari setiap Dewan dan Kawasan merangkumi pelbagai fokus yang bakal diimplementasikan.

    Dalam penggulungan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, beliau menyedarkan seluruh hadirin bahawa pengukuhan organisasi jamaah mestilah didasari peningkatan pergantungan kepada Allah.

    Jelasnya, pentarbiyahan diri, perapatan ukhuwah dan hubungan bersama masyarakat, termasuk rakan-rakan bukan-Islam dan organisasi bukan kerajaan (NGO) mesti dilakukan dalam kerangka pendekatan BPMS.

    Program diserikan dengan penyampaian hadiah bagi penyertaan teramai kepada PAS Kawasan Titiwangsa, Batu dan Bandar Tun Razak, serta pembahas terbaik kepada wakil Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr Nur Hasiba Kamaruddin. – HARAKAHDAILY 21/10/2019

    - Advertisement -