Royalti: Masih bersifat menghukum, main politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegagalan Kerajaan Persekutuan menyelesaikan kemelut pembayaran royalti minyak kepada negeri Kelantan sangat mengecewakan rakyat negeri tersebut.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz rakyat Kelantan sangat kecewa dengan politik baharu dan sikap dolak dalik kerajaan Persekutuan yang seolah-olah masih ingin memanjangkan krisis pembayaran wang royalti kepada Kelantan.

“Biarpun segala syarat dan tuntutan yang dikehendaki Pusat telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi membolehkan bayaran royalti disalurkan dengan lancar.

“Walaupun kerajaan mendakwa telah membayar wang royalti tersebut tetapi ia dengan jelas mengelirukan dan masih bersifat menghukum dan bermain politik kerana jumlah yang sama dengan wang ehsan yang telah diterima sejak zaman kerajaan lama (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, jumlah wang yang diterima itu amat kecil seolah memperlekeh dan ‘menganjing’ sehingga memaksa rakyat negeri tersebut untuk terus menagih simpati daripada Kerajaan Persekutuan sedangkan ia adalah hak yang berhak diperolehi sepenuhnya oleh Kerajaan Kelantan.

Dalam masa yang sama, beliau menuntut pihak Kerajaan Persekutan mengumumkan jumlah sebenar wang royalti Kelantan berdasarkan jumlah pengeluaran minyak daripada perairan negeri itu seperti dikeluarkan secara rasmi oleh pihak Petronas.

“Adalah pelik selepas berapa kali diminta, kerajaan masih gagal mengumumkan jumlah sebenar wang royalti kepada Kelantan, adakah ‘ada udang di sebalik batu’, ‘ada babi di sebalik hutan’?” soalnya.

Tambahnya, kegagalan pembayaran royalti kepada Kelantan tidak hanya merugikan kerajaan negeri itu sahaja, malahan melibatkan kerajaan Malaysia sendiri apabila akan mengakibatkan kesenjangan ekonomi antara rakyat dalam negara.

Sekiranya pembayaran wang royalti diberikan kepada Kelantan secara adil, katanya titik-titik ekonomi dalam negara akan tersebar lebih menyeluruh dan kemakmuran akan dikecapi bersama.

Tegasnya, janganlah kegagalan pembayaran wang royalti tersebut disebabkan oleh sifat marah, dendam dan hukuman politik terhadap pembangkang khususnya negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 21/10/2019

- Advertisement -