Komik keliru, nafi sejarah asal Tanah Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS melalu Lajnah Penerangannya telah membuat satu laporan polis berhubung pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ke sekolah-sekolah secara percuma kerana didakwa mempunyai niat jahat.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad mendakwa pengedaran komik tersebut cuba untuk mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu yang menjadi hak milik orang Melayu.

“Saya merasakan (pengedaran komik) mempunyai niat yang sangat tidak baik dan mengandungi cubaan untuk mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu yang menjadi hak milik orang Melayu.

“Apabila mengambarkan orang Melayu bodoh dan pengecut dalam memperoleh kemerdekaan Tanah Melayu sedangkan ribuan umat Islam terkorban terutama golongan alim ulama yang berjuang dan menentang penjajah demi kemerdekaan negara,”katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.

Selain itu, katanya menonjolkan Ko Ming Tan, Bintang Tiga dan komunis terlibat sama dalam memperjuangkan kemerdekaan adalah satu cubaan secara halus untuk mengubah sejarah negara ini.

Hal ini, katanya kerana Bintang Tiga dan komunis merupakan musuh negara kerana telah membunuh ribuan askar dan polis, malah cubaan untuk menaikkan mereka sebagai pejuang kemerdekaan negara adalah satu tindakan jahat.

Dalam masa yang sama, katanya komik tersebut didakwa cuba memasukkan ideologi parti politik DAP ke sekolah-sekolah dan ia sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, walaupun terdapat pimpinan DAP yang menafikan komik tersebut daripada parti itu, mereka sepatutnya memberi kerjasama supaya dalang di sebalik penerbitan komik itu dapat ditangkap dan diambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata beliau telah mengarahkan seluruh jentera penerangan PAS negeri untuk membuat laporan polis.

“Kami harap tindakan segera diambil supaya pihak yang terbabit dalam pengedaran komik ini dapat diambil tindakan sewajarnya dan tidak mahu insiden yang seperti ini berulang lagi di institusi pendidikan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2019

- Advertisement -