Kedah mampu ke perlawanan akhir – Radhi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Lajnah Kesenian, kebudayaan dan Sukan PAS Kedah, Muhamad Radhi Mat Din melahirkan keyakinin pasukan bola sepak negeri ini mampu memberi saingan hebat kepada pasukan lawan untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

- Advertisement -

Kata beliau, keputusan seri 3-3 pada perlawanan menentang Pahang, malam kelmarin di Stadium Darul Aman,memberi sedikit kelebihan peluang kepada pasukan Kedah untuk mencapai harapan ke peringkat akhir.

“Saya mengharapkan sejarah 1987 berulang kembali, di mana di waktu itu Kedah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir setelah puluhan tahun tidak berpeluang,” ujar beliau menyingkap sejarah.

Jelasnya lagi, pada tahun tersebut, beliau baharu sahaja melibatkan diri sebagai pemain bola sepak Kedah dan kenangan mengalahkan Pahang dan berjaya ke peringkat akhir setelah puluhan tahun tidak berjaya melayakkan diri, sentiasa menjadi kenangan manis.

Justeru itu, bekas jurulatih pasukan bola sepak Kedah itu juga menasihati agar persiapan fizikal dan mental setiap pemain mesti diberi keutamaan terutama pada minit 15 ke 25 pertama perlawanan.

“Perlu yakin dengan kekuatan kumpulan sendiri dan jangan terlalu banyak memberi peluang kepada pasukan lawan untuk bergerak bebas dan elak melakukan kesilapan mudah (sily mistake),” ujarnya.

Sehubungan itu, Radhi berkata, Kedah perlu menang sekurang-kurangnya 1-0 dengan Pahang dalam perlawanan separuh akhir kedua di Kuantan pada 26 Oktober ini. – HARAKAHDAILY 21/10/2019

- Advertisement -