Kebiadaban Wong Yan Ke hasil politik DAP?

Wong Yan
- Advertisement -

TINDAKAN Wong Yan Ke yang juga Presiden UMANY UM adalah biadab dan melampaui batas dalam adab sebagai pelajar. Tindakan biadap untuk meraih populariti dalam menjayakan agenda tersembunyi DAP amat melampau.

Bagi Pemuda PAS Sarawak, Majlis Konvokesyen adalah majlis meraikan para graduan serta saat kegembiraan untuk memahat memori manis setiap graduan. Malangnya tindakan Yan Ke telah  mencemari dan menzahirkan sentimen kebencian juga kebiadapan bertujuan merosakkan suasana majlis formal tersebut jelas mendukacitakan.

Kejadian ini telah mendapat pelbagai reaksi dari setiap lapisan masyarakat majmuk di Malaysia.  Ada yang mengutuk tindakan tersebut malah meminta untuk UM menarik balik ijazah Yan Ke. Namun ada juga yang berpendapat sebaliknya, di mana mereka memuji tindakan biadab tersebut dan mengangkatnya sebagai hero mahasiswa kerana berani bersuara.

Soalan untuk beliau. Kamu bersuara untuk siapa? Apa motif kamu mencemari majlis graduasi yang sangat berprestij itu? Adakah itu yang DAP ajarkan?

Tidak dinafikan, kita berada di zaman kebebasan bersuara, namun kebebasan tersebut perlu kepada batasnya. Sentimen kebencian dan tidak beradab bukanlah sifat seorang pelajar yang bermoral dan bertamadun. Di manakah terletaknya akhlak seorang pelajar dengan menjerit-jerit di atas pentas untuk memalukan dan menghina pihak universiti? Tidak tahukah Yan Ke, bukan hanya ibu bapa dan pelajar yang berada di dalam dewan tersebut, malah para pensyarah turut berada di situ? Di manakah sifat hormat seorang pelajar kepada pendidik jikalau begitu sikapnya? Sedangkan Islam termasuk semua agama mengajar setiap umatnya untuk menghormati para guru,  bahkan untuk meninggikan suara pun adalah dilarang dan boleh dianggap sebagai kurang ajar.

Setinggi mana pun ijazah tersebut, tiada gunanya jika tidak disertakan sekali dengan adab dan adab tatasusila. Matilah roh ilmu tersebut, hilanglah segala keberkatan yang ada. Malah ketinggian ilmu yang kamu pegang itu akan turut tercemar.

Ingatkah kalian pada insiden konvokesyen UITM pada 2015 yang lepas? Atas alasan ‘selfie’ bersama di atas pentas, graduan tersebut digantung belajar selama setahun. Mengapa Universiti Malaya membiarkan bekas Presiden UMANY ini terlepas dari hukuman sepertimana yang dilakukan oleh UITM? Cukupkah dengan laporan polis yang dibuat tanpa ada tindakan? Mengapa UM membenarkan pelajar biadap ini mengambil transkrip degree?

Tidakkah UM tahu, Yan Ke mengepalai persatuan UMANY, di mana persatuan yang sangat jelas sifat rasisnya. Bahkan di media sosial persatuan ini sangat melampau dengan kenyataan dan komen berunsur perkauman. Di manakah sifat patriotisme dan menjunjung ilmu serta adab sebagai graduan Universiti tertua dalam negara.

Membiarkan Yan Ke terlepas dari sebarang hukuman oleh pihak Universiti sangatlah mengecewakan semua pejuang akademik dan persatuan mahasiswa di seluruh negara. Keputusan ini seolah-olah memberitahu tindakan biadap beliau mendapat restu dan dibenarkan oleh Universiti Malaya atas dasar kebebasan bersuara.

Justeru, DPPNS mendesak PDRM dan pihak berkuasa bagi menyegerakan kertas siasatan terhadap keceluparan dan kebiadapan Wong Yan Ke yang mencemarkan martabat pusat pengajian tinggi dan menunjukkan sifat perkauman yang melampau. Agar beliau dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa dan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan biadapnya itu.

AHMAD DINNIE  ASYRAF AHMAD ASHRIN
Pegawai Khas Media
Ketua Pemuda PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 21/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -