Patch Adam

JIKA anda pernah menonton filem Patch Adam, lakonan Robin Williams, anda akan mendapati cerita yang diadaptasi dari kisah benar ini banyak memberikan inspirasi. Ia berkenaan elemen kemanusiaan dalam kaedah merawat pesakit. Sama ada dalam rawatan mahupun dari segi kewangan. Ia menyasarkan bantuan bagi kedua-duanya. Cerdik juga bukan diukur kuatnya membaca, tetapi lebih utama kefahaman bagaimana menyelesaikan masalah dengan cara terbaik.

Adam berusaha gigih dalam usaha beliau mahu mendapatkan ijazah bagi menjadi seorang doktor. Tetapi kaedah yang digunakan beliau amat jauh berbeza dari kaedah konservatif yang diamalkan oleh para pengajar di universiti yang beliau berada. Sehingga rakan sebilik beliau membuat aduan bahawa Adam yang dia dapati tidak menelaah buku, asyik keluar, tetapi sering mendapat markah yang tinggi. Dakwa beliau, Adam meniru dalam peperiksaan.

Adam yang sebenarnya bekas pesakit jiwa, akhirnya berjaya meyakinkan salah seorang orang kaya bagi memberikannya kawasan untuk didirikan sebuah hospital dan melakukan rawatan mengikut kaedah yang beliau percaya berkesan merawat pesakit iaitu menghiburkan pesakit. Walaupun begitu beliau menghadapai masalah apabila didakwa menjalankan aktiviti merawat tanpa kebenaran dan dihadapkan ke tribunal universiti. Akhirnya beliau menang dan berjaya.

Ketika menerima ijazah beliau, Adam telah memakai jubah konvokesyen tanpa memakai apa-apa pakaian di dalam jubah itu. Maka apabila nama beliau diumumkan, beliau naik ke pentas, menerima skrol dan ketika dia tunduk menghormati para Senat Universiti, Adam telah menunjukkan punggungnya kepada hadirin dan apabila Adam menunduk memberi hormat kepada hadirin, dia telah menunggingkan punggungnya yang tidak dipakaikan apa-apa itu kepada para Senat Universiti.

Mungkin ini caranya seorang siswazah yang disokong oleh DAP mahu tunjukkan kepada dunia bahawa, kurang ajar itu adalah salah satu sikap terpuji yang akan didukung oleh DAP. Melakukan sesuatu yang kurang ajar pada majlis rasmi, bukanlah adab mana-mana kaum, kecuali mereka tidak siuman atau sememangnya berniat berbuat jahat, hasil daripada ajaran daripada pihak lain. Jika dia mahu mengikut cara Patch Adam, dia kena pastikan bahawa dia juga seorang bekas pesakit mental, maka kita akan menerimanya.

Adam Adli dahulu pernah dikenakan tindakan oleh universiti atas penyertaannya dalam demo. Beliau kemudiannya dibebaskan dari penggantungan pelajaran. Bermakna, beliau telah dibicarakan dan dikenakan hukuman. Ramai lagi pelajar-pelajar universiti yang telah ditangkap dan dikenakan tindakan tatatertib di bawah AUKU, suatu akta puaka yang digeruni mahasiswa suatu ketika dahulu, terutama dalam peristiwa reformasi yang ikonik itu.

Ia dibincangkan, bagaimana mahu dihapuskan AUKU. Dan AUKU akhirnya dipinda dengan membolehkan mahasiswa berpolitik dalam kampus. Memang orang muda ialah ejen perubahan. Dalam sejarah mana-mana ketamadunan, terlalu banyak kisah orang muda ini, dinukilkan berjaya merubah dunia. Darah muda mereka yang mengalir dalam tubuh mereka adalah darah anarki. Ia sukar dibendung jika sudah naik ke kepala tuannya. Jika diaruhkan kepada kebaikan sebagaimana Rasulullah memandu mereka, maka akan baiklah negara itu. Tapi jika sebaliknya orang seperti Kamal Attarturk yang mengemudinya, maka kecelakaanlah yang akan dikutip.

Ibnu Khaldun berkata, bagi kerosakan sesebuah negara, ia memerlukan paling minima puluhan tahun untuk diperbaiki. Ya, sekurang- kurangnya satu generasi itu yang mungkin hidup selama 40 ke 50 tahun bermula selepas remajanya. Namun jika beberapa generasi yang mewarisi kejahilan itu, maka, ia mungkin mencecah ratusan tahun, sebelum ianya dapat diperbaiki. Oleh itu seluruh masyarakat akan hidup dalam kejahilan dan kejahatan sehingga diselamatkan.

Dalam satu kisah, diceritakan pada zaman Khalifah Uthmaniyyah, Sultan Ahmed I pernah bertanyakan kepada mufti beliau yang sangat hebat Syeikh Muhammad Sa’dudin bin Hassan¬† Khan al-Tabrizi kenapa Kerajaan Islam mengalami kemerosotan sedangkan Allah menjanjikan kemenangan bagi umat Islam. Sheikh menjawab dengan jawapan yang amat ringkas, ‘Bukan urusan saya’ yang membuatkan Sultan Ahmed I menjadi murka dan menuntut penjelasan mufti.

Mufti menjelaskan dengan terperinci jawapan ringas beliau itu, iaitu sikap bukan urusan saya dalam diri umat Islam itulah yang menyebabkan Kerajaan Islam mundur tidak mendapat kemenangan kerana masing-masing mementingkan diri sendiri. Segala dosa, kejahatan dan kelakuan sumbang, dibiarkan berleluasa tanpa dihalang walaupun di depan mata. Sikap kau-kau, aku-aku ini menjauhkan kita dari Allah, penguasa seluruh alam. Apa lagi pertolongan yang kita dambakan selain daripada pertolongan Allah? Jadi, sikap kita terhadap amanah Allah lah yang menentukannya.

Kaum bukan Islam dan Melayu di Malaysia, amat menyedari kepentingan berpolitik ini. Mereka berpolitik dengan berpasukan dan berjaya dalam menekan pihak lawannya mengikut kehendak mereka. Ding Zong, DAP, MCA, mereka bergerak bersama jika ia melibatkan kepentingan kaum mereka. Amat jarang kita mendengar dahulu pelajar-pelajar Cina ini berdemo, kerana bukan atas kepentingan kaum mereka. Buang masa. Nah sekarang, mereka bangkit setelah melihat kaum Melayu Islam baharu hendak bersama. Mereka tahu kebersamaan kita, akan melemahkan mereka, sedangkan kita tidak pernah menindas mereka.

Melihat kepada hukuman seorang pelajar dari UiTM Lendu, Melaka kerana berswafoto di atas pentas iaitu hukuman satu hingga dua tahun ditahan pengajiannya, hati ini sangat kuat bertanya, kurang apakah lagi bagi Universiti Malaya bagi mengenakan hukum atas sikap kurang ajar pelajar sokongan DAP itu? Ya AUKU sekarang membenarkan berpolitik, tapi ia tidak sesekali memberikan lesen berkurang ajar? Tidakkah Naib Canselornya yang diuar-uarkan memegang jawatan khusus, mendapat anugerah itu dan ini merasa kalah kepada pelajar itu? Kemenangan bagi pelajar yang kurang ajar itu terhadap beliau yang dihormati dengan cara yang amat rendah.

Titisan darah, keringat dan air mata bagi pelajar Melayu Islam dahulu atas nama menyelamatkan politik negara, seperti tiada dipedulikan. Ianya sia-sia, malah tidak kurang yang tidak dibenarkan menyambung pelajaran mereka. Walaupun didesak oleh parti-parti Melayu Islam, namun ia berlalu bersama angin. Tetapi kurang ajarnya bangsa lain, dilihat bagaikan diraikan pula. Rasanya amat jelas kebenaran berpolitik dalam kampus dengan sikap kurang adab, adalah dua hal yang amat jauh berbeza.

Bersamalah kita mengenepikan sikap ‘Bukan urusan saya’ dalam hati kita, umat Islam. Kita berganding bahu memelihara negara ini agar kejahatan tidak menguasainya. Kitalah yang bertanggungjawab terhadap anak cucu kita, bagi meninggalkan negara dalam keadaan selamat sejahtera di bawah Islam. Kerana jika dibiarkan golongan anarki ini menguasai, maka dibimbangi anak cucu kitalah yang mungkin akan menjadi penentang Allah dan Rasul suatu ketika nanti. Dan jika itu berlaku, berapa lama pula diperlukan bagi memperbaiki negara ini? Waiyyazubillah.

MOHD NASIR ABDULLAH
20 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 20/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement