PAS tidak anggap MIC sokong aktiviti pengganas

PAS berpandangan langkah MIC memberi khidmat Peguam kepada saspek yang ditahan kerana disyaki terlibat menyokong Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) bukanlah bermakna MIC menyokong keganasan oleh mana-mana pihak. Apatah lagi sehingga kini dalam kes ini tiada bukti seorang pun ahli MIC yang ditahan.

Bagi PAS langkah memberi khidmat Peguam adalah bagi memastikan seseorang yang ditahan mendapat haknya sebagaimana dijamin di sisi undang-undang selaras dengan prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”. Sekiranya mereka dibuktikan bersalah dan disabitkan oleh mahkamah, maka semua pihak perlu akur dan menyerahkannya kepada proses undang-undang untuk dilaksanakan.

Pada masa yang sama PAS atas dasar kepentingan awam (public interest) dan keselamatan negara (national security), terus mendesak Kerajaan mengemukakan Kertas Putih di Parlimen mengenai kegiatan berbentuk sokongan kepada aktiviti keganasan di negara ini supaya mana-mana pihak terutama pimpinan politik yang memesongkan pemikiran rakyat diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 20 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 20/10/2019

Advertisement