Fahaman Komunis melalui komik agenda jahat DAP

- Advertisement -

DAP melancarkan serangan pemikiran dan dakyah yang cuba mendoktrin para pelajar sekolah dengan fahaman Komunis. Pengedaran buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” adalah satu bentuk penjajahan baru terancang oleh DAP.

- Advertisement -

Pengedaran komik secara percuma di sekolah telah dibiayai oleh agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ini sekali gus menyangkal penafian Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy bahawa penerbitannya tiada kaitan dengan DAP.

DAP cuba memperbodohkan rakyat dengan memaparkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan buku komik ini sebagai hadiah rasmi kepada Presiden China, Xi Jinping. Sedangkan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan komik ini dibawa tanpa melalui prosedur yang betul.

Komik diterbitkan Muzium Kebudayaan Komik Asia oleh Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai Superman DAP ini secara jelas menyebarkan propaganda DAP. Ianya memberi bayangan kebaikan Komunis demi menutup sejarah kekejaman yang telah dilakukan terhadap Tanah Melayu dan rakyatnya.

Pemuda PAS Pulau Pinang membantah sekeras-kerasnya tindakan biadab Hew Kuan Yau, P. Ramasamy dan DAP kerana membohongi, membenarkan dan membiayai gerakan halus yang sangat berbahaya dalam percubaan mengubah struktur asas pembinaan negara kita.

Kami bersetuju dan menyokong tindakan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik melalui Kementeriannya tidak mengeluarkan kelulusan dan kebenaran pengedaran komik ini kepada institusi pendidikan. Ini kerana tidak seharusnya institusi-institusi pendidikan seperti sekolah dijadikan medan untuk menyebarkan propaganda politik DAP.

Tindakan mengedarkan buku komik yang jelas berunsur politik dan cubaan memesongkan sejarah negara kita demi kepentingan politik DAP merupakan tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Pemuda PAS Pulau Pinang sekali lagi mendesak agar pihak Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa bertegas.

Kami juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya, terutama mengadakan siasatan terhadap pemimpin DAP di mana dilihat mutakhir ini cuba mempositifkan Komunis. Adakah DAP sedang cuba mengiktiraf atau membawa fahaman Komunis kepada rakyat negara ini?

“Islam Memimpin Perpaduan”

AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 20/10/2019

- Advertisement -