BMF: Razman tegur tindakan angkuh Asmuni

- Advertisement -

IPOH: Tindakan Exco Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi melarang penganjuran kempen Beli Barangan Buatan Muslim Dahulu (BMF) adalah tindakan yang kurang bijak, demikian tegur Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

- Advertisement -

Malah, beliau menyifatkan langkah Asmuni memanggil Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim atas keterlibatan dalam kempen tersebut dilihat sangat angkuh, selain turut membangkitkan kemarahan warga maya.

Asmuni yang memegang portfolio Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan mengeluarkan larangan tersebut terhadap program anjuran Masjid An-Nur Batu 8, Hulu Kinta di sini semalam.

Pengerusi PAN Perak itu turut bertindak mengarahkan Timbalan Mufti tersebut menemuinya untuk memberi penjelasan berikutan Zamri merupakan perasmi bagi pelancaran kempen yang dianjurkan bersama pihak NGO.

“Konsep Halalan Toyyiban  yang dibawakan ini bukan sahaja mendatangkan kesan ketara bagi mengembangkan perniagaan Muslim, malah ia juga memberi impak positif dalam kehidupan kita selaku umat Islam.

“Kempen BMF ini hanya menekankan pembeli Muslim mengutamakan barangan keluaran Muslim dalam berbelanja. Kita tidak menyekat mahupun menghalang sebarang perniagaan daripada bukan Islam. Ini yang beliau harus fahami dengan jelas.

“Dalam melaksanakan Kempen BMF ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi umat Islam, malah usaha menyatukan orang Islam dalam seluruh aspek kehidupan nyata lebih berkesan melalui kempen ini.

“Tindakan beliau mengaitkan kempen BMF dengan kepentingan politik dan menyekat aktiviti ini dilakukan di kawasan masjid jelas membuktikan ketidaklayakkan beliau dilantik selaku Exco Agama negeri Perak.

“Sekiranya beliau (Asmuni) enggan hadir sama menyokong kempen ini, tindakan menghalang kempen ini daripada terus maju dan diperluas terutamanya menggunakan kawasan masjid amatlah tidak wajar,” ujar Razman.

Beliau turut mengulas bahawa Exco Agama seharusnya melakukan reformasi yang holistik dalam memperkasa hal ehwal Islam serta menjadikan masjid medium berkesan sebagai tempat penyatuan umat Islam. – HARAKAHDAILY 19/10/2019

- Advertisement -