Propaganda Barat dan Kurdistan Raya

- Advertisement -

NEW Middle East dan Deal Of The Century

Apabila melihat isu semasa di Turki dan Utara Syria hari ini, seolah-olah sedang dalam proses ‘melukis’ agenda belakang tabir ke arah New Middle East (NME) sepertimana yang telah dilakarkan sejak zaman Bernand Lewis 1983 dan ‘diupgrade’ oleh Lieutenant Colonel’ Ralph Peters, yang lebih terkenal dengan The Greater Middle East yang dibentangkan pada Jun 2004.

Seterusnya pada Jun 2006 ia dikenali sebagai New Middle East (NME) yang dibentang di Tel Aviv. Antara yang terzahir ialah tujuan NME ini ke arah membina blok US di Asia Barat bagi berhadapan dengan ‘Russia’s Southern Tier’ yang menguasai Asia Tengah. Isu ini kemudiannya di ‘up’ lagi pada 2017 tahun yang sama kemunculan Deal Of The Century yang diisytiharkan di zaman Donald Trump seawal kenaikannya sebagai Presiden Amerika.

Perlu sedar bahawa Deal Of The Century yang seiringan dengan NME lebih kepada membina Empayar Israel Raya (Pax Judaica). Israel Raya boleh dikatakan rancangan akhir Yahudi setelah merampas Palestin, iaitu mengalihkan kuasa dunia (world power). Peralihan kuasa yang dilihat mendominasi dunia ialah British, dikenali sebagai Pax Britannica sejak 1815-1914. Sejak 1945 era Perang Dunia II, United Kingdom dan United States dilihat mendominasi menyaksikan kemunculan Pax Americana.

Pada 1987, Paul Kennedy di dalam bukunya The Rise And Fall Of The Great Powers beliau melontarkan keyakinan yang tinggi bahawa kuasa Amerika juga akan tamat riwayatnya bila sampai waktunya. Antara rasionalnya, atas sebab kehausan sumber ekonomi (overstrecth). Satu kemungkinan yang logik ke arah pengalihan kuasa besar dunia ke arah Pax Judaica (Israel Raya)

Pada April tahun ini (2019) Donald Trump mengisytiharkan bahawa al Quds sebagai ibu negara Israel. Kenyataan ini kemudiannya tidak dipersetujui oleh Persidangan PBB, bahkan mengundang kritikan daripada negara-negara yang lain. Namun, pelan perancangan NME, DOTC (Deal Of The Century) dan pelbagai lagi projek-projek penjajahan era baru seperti Yinon Plan terus berjalan.

Huru-hara yang terancang

Pada tahun yang sama 2017, antara isu yang panas ialah perjuangan ke arah membina Kurdistan Raya, walaupun projek ini telah pun dijalankan beberapa tahun sebelumnya dengan begitu terancang. Apabila dirujuk pada ‘gambar’, boleh lihat bagaimana mereka merancang ke arah penubuhan negara ini seiringan dengan Pax Judaica. Antara tujuan yang jelas ialah memecah belahkan Negara-negara Arab secara terus menerus.

Secara mudahnya api percakaran mazhab akan terus dibakar supaya memastikan negara negara itu bergolak, lantas memberi keselesaan untuk mendirikan sebuah empayar Israel. Projek yang ‘latest’ ini boleh dikatakan bermula pasca Arab Spring 2011 dan berlarutan hinggalah ke hari ini. Negara-negara yang terlibat dalam projek mereka, semuanya bergolak.

Sudan baru sahaja digulingkan Presidennya. Justeru selepas penggulingan tiba-tiba muncul pula perlawanan bola sepak perempuan. Nampak macam ke arah keterbukaan Liberal dan Hedonism yang seiringan dengan Arab Saudi. Somalia dan Yaman pula negara yang strategik dengan laluan tanduk Afrika, sudah pasti di’huru-hara’kan oleh tangan ghaib. Geopolitik mereka masih kucar-kacir sekalipun telah munculnya Somaliland.

Syria yang menjadi kawasan panas sudah pasti awal lagi dihuru-harakan. Antaranya krisis perebutan Bukit Golan yang merupakan tempat sumber bekalan air utama untuk Syria selain Sungai Furat. Bukit Golan juga merupakan saliran yang mengalir ke Jordan dan Tasik Tiberia, yang berpotensi dari sudut pelancongan. Bahkan, ia merupakan sumber bekalan air di Palestin itu sendiri. Israel perlu memastikan sumber air mereka tidak diganggu oleh Syria di sebelahnya.

Percakaran mazhab dan perang saudara

Kurdistan secara umumnya adalah bangsa yang tidak berada di dalam sebuah negaranya yang satu. Rumpun mereka ada di bahagian Timur Turki, Utara Syria, Utara Iraq, dan Barat Iran, bahkan menjadi warganegara negara yang mereka tinggal. Kewujudan mereka secara terasing ini menjadikan peluang kepada Amerika-Israel untuk memecahbelahkan kawasan ‘Syam’ dan mengekang persaingan dari mereka, khususnya Iran.

Justeru, mereka perlu meniupkan sentimen fanatik bangsa kepada rakyat Kurdi untuk bersatu (kononnya) dan bangkit membina empayar sendiri. Walhal ia adalah strategi untuk terus menerus menghuru-harakan zon panas tersebut. Antara modal utama selain daripasa nasionalism Kurdi ialah slogan Sunni-Syiah yang dimainkan sejak Pasca Arab Spring 2011 lagi.

Kebangkitan Kurdi akan memberi kesan kepada politik 4 negara, iaitu Turki, Syria, Iraq dan Iran. Apabila dilihat dari segi persaingan kuasa, keempat-empat negara ini majoritinya Muslim, cuma berbeza mazhab aqidah. Maka tembok mazhab ini sedang dibina oleh Barat supaya mereka terus berkonflik. Apatah lagi keempat-empat negara ini antara negara yang banyak mengganggu kerja kerja Amerika dan Israel untuk menakluk dunia.

Antara strategi yang mereka lakukan selama ini terhadap negara-negara ini selain Arab Spring 2011 cukup banyak. Antaranya campurtangan terhadap politik Iraq. Iraq boleh dikatakan pesaing Amerika, dan mencabar kuasa itu. Apabila Saddam ditangkap, sentimen Sunni-Syiah dimainkan supaya huru-hara Iraq dikatakan berpunca daripada konflik mazhab, hakikatnya agenda Amerika.

Operasi Dujail 1982 yang menyasarkan kelompok Syiah, dimainkan semula sehinggalah Saddam digantung pada 2006 dengan kepuasan hati mereka yang terkesan dengan sentimen mazhab. Begitulah juga sepertimana yang terjadi di Syria dan Iran [1]. Dalam pilihan raya pada bulan Jun 2019, menyaksikan bagaimana Erdogan ‘dicabar’ dengan kekalahannya di pilihan raya Izmet, Istanbul dan Ankara. Menjadi satu signal kepada campur tangan asing.

Natan Sharansky dan Oded Yinon

Rancangan memporak-perandakan Arab bukanlah satu rancangan terbaru, tetapi sudah menjadi sebati bagi mereka sepertimana gesaan seorang penulis namanya Natan Sharansky. Natan Sharansky merupakan salah seorang pemikir Yahudi dan juga dikenali sebagai penulis hot. Di dalam bukunya ‘The Case For Democracy’ yang diterbitkan pada 2004, 3 tahun selepas Drama 11 September 2001 menyatakan:

“Antara agenda penubuhan Negara Israel mestilah dijayakan dengan konflik bersaudara sesama Ummat Islam dengan alasan bangsa dan mazhab”

Dalam sebuah tulisan yang bertajuk ‘A Strategy for Israel in the Nineteen Eighties’ yang ditulis oleh Oded Yinon, menyebut dengan jelas mengenai agenda jahat Israel bagi meruntuhkan seluruh Tanah Arab, demi merealisasikan impian mereka hidup selesa sebagai empayar di tengah tengah Negara-negara Arab. Tulisannya itu dikenali sebagai Yinon Plan.

Antara yang dikatakan, “Negara-negara Arab memberi ancaman kepada Israel dalam bentuk ketenteraan. Iraq adalah negara yang kaya dengan hasil minyak, pasti akan menjadi sasaran Israel. Keruntuhan negara itu lebih penting daripada Syria. Iraq lebih kuat, dan secara tidak langsung pasti akan memberi ancaman kepada Israel dan menjadikannya sebagai musuh yang bahaya.”

“Namun Perang Iraq-Iran telah memusnahkan sedikit demi sedikit negara itu dan berjaya mengekang Iraq daripada membuat persiapan menyerang Israel. Setiap pertentangan di kalangan Negara Arab hanya akan memperkukuhkan lagi Israel, seterusnya memudahkan langkah bagi memusnahkan Iraq, Syria dan Lubnan.”

Amerika ketika permulaan kebangkitan Iran merasakan ia satu ancaman. Setelah memikirkan strategi untuk berhadapan dengan Iran, Amerika cuba mempergunakan Iraq (secara sementara) untuk cetuskan konflik mazhab dan bangsa. Berlakulah perang Iraq dan Iran antara 1980 hingga 1988 bertempat di Teluk Persian. Perang ini diakhiri dengan gencatan senjata hasil campur tangan PBB.

Amerika yang menjadi proksi Israel membakar sentimen mazhab sepertimana yang disebut dalam Yinon Plan. Perang mazhab ini hanya merugikan Ummat Islam dengan jumlah kematian melebihi 800,000 orang termasuk orang awam yang tidak bersalah. 1990 dan 1991 Perang Teluk Persia antara geng Amerika bertembung dengan geng Iraq menyaksikan Iran bersifat neutral dan membenarkan kapal Iraq melintasi ruang udaranya .

Konflik terbaru antara logik atau alasan

Hari ini kita menyaksikan bagaimana secara ‘kulitnya’ Turki sudah tidak sedap duduk dengan isu migran daripada Syria yang masuk ke Turki hingga mencecah 2 juta pelarian. Campur tangan luar terhadap Syria menyebabkan negara itu hancur, lantas mewujudkan fenomena perang. Erdogan pernah mengatakan kesabarannya untuk membela nasib mereka.

Namun ia dijadikan bahan untuk mengalahkan Parti Erdogan dalam pilihan raya Bulan Jun lalu di tiga buah negeri. Umum mengetahui bahawa Parti Pekerja Kurdistan (PKK) menjadi ancaman kepada Erdogan sejak kebangkitan Kurdistan antaranya pada 2017. Erdogan hari ini khususnya terpaksa membendung geng PKK yang dikatakan pengganas.

Geng PKK bertapak di sempadan Turki-Syria. Yang terbaru dikatakan geng Kurdish (PKK) yang bertapak di Utara Syria capai kata sepakat dengan negara itu untuk menghantar tentera Amerika ke situ (Utara Syria). Serangan Turki minggu lepas memaksa PKK menjauhi kawasan sempadan tersebut. Kawasan tersebut dikepalai oleh Syrian Democratic Forces (SDF).

Hasil serangan minggu lepas menyaksikan bagaimana Turki berjaya ‘merembat’ dua buah bandar utama di kawasan sempadan tersebut. Seperti biasa, dalam serangan ini banyak mengorbankan tentera dan orang awam. Tentera Kurdish yang memimpin pentadbiran di Utara Syria ada menyatakan bahawa tentera Syria akan bersama mereka menjaga sempadan itu kerana ia adalah isi perjanjian sesama mereka.

Dalam masa yang sama masing-masing bekerjasama menghalang Tentera Turki yang masuk, tapi yang peliknya gerakan ini telah membuka ruang beberapa tempat di dalam Syria untuk dimasuki, contohnya Daerah Afrin. Tentera Turki dan orang Syria yang Pro Turki telah menghalau Kurdish keluar dari daerah itu pada 2018. Maka, peristiwa-peristiwa ini dijadikan alasan yang signifikan untuk mewujudkan kesatuan orang-orang Kurdish (Kurdistan Raya).

Kurdistan dan petanda akhir zaman

Apabila kita meneliti dan memperhalusi beberapa kronologi, kita akan dapati sememangnya ada rancangan untuk membina Kurdistan Raya. Tujuannya? Sepertimana yang dinyatakan di awal tadi, iaitu untuk mewujudkan huru-hara yang berterusan di negara-negara yang terbabit dengan NME. Alasan-alasan dicipta bukan satu kejujuran, tapi sebagai satu ‘kepentingan politik’.

Media-media macam biasa, memainkan peranan untuk menguasai Perang Maya untuk membina persepsi. Persepsi jahat ini selaras dengan agenda Post Truth [2], yang menyaksikan kekeliruan yang dahsyat di kalangan masyarakat dunia. Contoh seperti melaga-lagakan Iran dan Iraq yang, membakar semangat Arab Spring 2011 dan sebagainya.

Syria yang kucar-kacir hingga ke hari ini diambil kesempatan oleh kuasa luar untuk campur tangan. Yaman dikucar-kacirkan atas alasan cakaran mazhab sama seperti Iran dan Iraq. Kebangkitan golongan Kurdi yang membawa kepada konflik ini seolah-olah disebut oleh Nabi S.A.W;

- Advertisement -



بين يدي الساعة تقاتلون قوما نعالهم الشعر وهو هذا البارز

“Di era akhir zaman, kamu akan berperang  dengan bangsa yang memakai sandal berbulu, merupakan penduduk Bariz.

(Shahih Bukhari)



Di dalam Fathul Bari Syarah Shahih Bukhari, Imam Ibn Hajar al Asqolani menukilkan pandangan Abu Nuaim bahawa yang dimaksudkan dengan Penduduk Bariz itu ialah ‘Bangsa Kurdi’.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3003958689645871&id=100000953077134

[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1208515132675291/HARAKAHDAILY 18/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -