Maruah

- Advertisement -

KHUTBAH Jumaat hari ini menyentuh soal maruah yang dikaitkan dengan rasuah. Sebenarnya banyak lagi elemen yang terkait dengan maruah. Seingat saya, antara ulamak yang bersetuju supaya maruah ini dimasukkan dalam pembahagian Maqasid Syarak yang perlu dijaga adalah Dr Yusuf Al Qardhawi.

- Advertisement -

Bidang Pendidikan juga mempunyai elemen maruahnya yang perlu dijaga. Integriti penuntut dan pengajar dari aspek jujur dalam belajar, tidak menipu, dan lain-lain. Adab juga termasuk dalam aspek yang melibatkan maruah sesebuah institusi pendidikan.

Seandainya sebuah universiti ternama terpaksa mengalah dengan kebiadaban pelajarnya, bererti ia sedang merobek maruahnya sendiri.  Mana mungkin disamakan antara kebebasan berpendapat dengan kebiadaban.

Adab secara integral adalah bahagian daripada hikmah dan keadilan, ketiadaan adab akan mengakibatkan kezaliman, kebodohan bahkan kegilaan semulajadi. Menurut Al Ghazali, kebodohan adalah melakukan cara yang salah untuk mencapai tujuan yang betul, sedangkan kegilaan adalah perjuangan berdasarkan tujuan dan maksud yang salah.

Kehilangan adab akan menjadi picu memunculkan segala bentuk Sofisme, sekali gus mustahil untuk membentuk insan adabi.

Kebingungan yang teruk kerana ketiadaan adab, tidak hanya bererti rosaknya ilmu, tetapi juga ketidakmampuan mengakui pemimpin yang benar dalam segala bidang, bahkan memberi jalan dan mendukung munculnya pemimpin palsu.

Abdullah Munsyi pernah menggambarkan situasi ini berlaku suatu ketika dahulu, katanya: 

“Belalang menjadi burung helang, kutu menjadi kura-kura, dan ulat berubah menjadi naga… Bahkan seorang yang hina dan bodoh dapat menjadi pandai dan terhormat jika memiliki harta, sedangkan orang miskin tidak dipandang, walaupun pandai dan terhormat”. 

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Pensyarah
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM)
18 Okt 2019 – HARAKAHDAILY 18/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -