Harus punya budi bicara laksana penguatkuasaan

    - Advertisement -

    IPOH: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar menangani sesuatu tindakan penguatkuasaan dilaksana secara adil dan belas ihsan.

    - Advertisement -

    Beliau berkata demikian ketika menemui para penduduk setempat dan para peniaga yang premis gerai mereka dirobohkan Bahagian Penguatkuasa Dewan Bandaraya Ipoh di Station 18, di sini semalam.

    Jelas beliau, budi bicara seperti itu amat penting kerana kerja perobohan tersebut dilakukan serta-merta ketika peniaga sedang memasak di dapur menyediakan juadah jualan mereka.

    Beliau yang juga Adun Gunung Semanggol berjanji membawa hal tersebut ke Sidang Dun Perak; bukan membela kesalahan peniaga, tetapi agar diberi perhatian terhadap kaedah pelaksanaan tindakan.

    Dua gerai yang telah menjalankan perniagaan makanan telah dirobohkan oleh pihak tersebut dengan turut disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan Jabatan Imigresen Perak, kelmarin.

    Tindakan penguatkuasaan terhadap struktur premis tersebut berikutan ianya didirikan di sepanjang jalan yang membabitkan penggunaan rizab jalan, sekali gus dianggap menceroboh.

    Bagaimanapun menurut salah seorang peniaga terbabit, Arshad Kasdim, tiada sebarant notis diberikan kepadanya untuk mengosongkan tapak berkenaan.

    “Sepatutnya pihak berwajib mengeluarkan notis peringatan bertempoh sekurang-kurangnya tujuh hari kepada pemilik struktur untuk mengosongkan tapak,” ujarnya lagi.

    Beliau turut memaklumkan baru mengambil alih gerai tersebut daripada pemilik lama 6 bulan lalu dan tidak menerima sebarang notis sepanjang tempoh tersebut.

    Hadir sama pada pertemuan tersebut adalah pimpinan PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Ipoh Timur. – HARAKAHDAILY 18/10/2019

    - Advertisement -