Makan sampai belahak, ‘bapok sedakknye’ Sambal Pahang

- Advertisement -

SEBUT sahaja ‘sambal hitam’, pasti mengecurkan kelenjar air liur ramai orang. Ledakkan rasa masam daripada ‘agen rahsia’ bersatu bersama rasa masin, lemak dan pedas menjanjikan masa makan anda begitu sempurna!

- Advertisement -

Sambal hitam merupakan sambal ‘rasmi’ orang Pahang. Sambal ini berasal daripada kawasan Pahang Barat bermula di Raub, Lipis dan Jerantut. Di dalam loghat penduduk sebelah sana sambal ini dipanggil ‘sambei itang’

Pada tahun 2013, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ketika itu merupakan Tengku Puan Pahang, telah memasyurkan secara rasminya sambal hitam menjadi ‘Sambal Pahang’ pada majlis sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan di Kuantan

Menurut orang Pahang, sambal Pahang asli terbangun daripada empat pemilihan bahan asas terbaik iaitu ikan bilis, bawang merah kecil, cili padi kampung dan belimbing buluh yang bertugas sebagai ‘agen rahsia’ keunikkan sambal hitam berbanding sambal lain.

Semua bahan-bahan ini perlu ditumbuk berasingan lalu dicampur sebati di atas kuali dan ditumis bersama minyak dengan api perlahan. Perasakan dengan gula lantas dikacau sehingga sambal benar-benar kering dan bertukar menjadi gelap. Garam tidak perlu kerana belimbing sudah tersedia masin.

Belimbing buluh menjadi ‘watak utama’ di dalam penghasilan Sambal Pahang ini. Buah yang sudah tua dan matang dipetik dan direbus bersama garam kasar. Belimbing bersifat asid dan akan meninggalkan kesan ‘luka’ pada bekas. Biasanya, tin minyak masak atau periuk lama menjadi pilihan.

Proses merebus, mengecut dan menukar warna buah belimbing daripada hijau menjadi perang dan kehitaman memakan masa yang lama dan menuntut kesabaran. Ini bagi memastikan kualiti belimbing hitam terbaik, tidak mudah berkulat dan tahan sehingga setahun dua. 

Tahukah anda? Proses rebusan menggunakan sifar air. Belimbing secara fitrahnya akan merembeskan air. ‘Air asam’ ini sedap dibuat cicah bersama ikan bakar dimakan bersama nasi panas. Orang Lipis kata, “sedak mat wehh”  bermaksud “sedap sangat awak”.

Setelah belimbing sudah benar-benar kering dan kecut , bolehlah diletakkan di dalam balang kedap udara dan disimpan pada suhu bilik. Tahukah anda? Sambal Pahang kini sudah memasuki pasaran aplikasi jualan terus dan harganya mampu mencecah berbelas ringgit bagi satu pek bungkusan seberat 150 gram.

Maka tidak hairanlah sambal hitam yang menjadi tanda dagang rakyat Pahang kini semakin ‘laku keras’ dan menjadi salah satu sambal ‘berhantu’, digilai dan ditagih oleh seluruh rakyat Malaysia.

Hitam manis pandang tak jemu,
Siang malam terbayang-bayang,
Sudah rasa baru tahu,
‘Bapok sedak weh’ Sambal Pahang. – HARAKAHDAILY 17/10/2019    

IMG 20191017 WA0031

IMG 20191017 WA0032

IMG 20191017 WA0033

- Advertisement -