Kejayaan perjuangan Islam semakin terserlah

    - Advertisement -

    TAMBUN: Aspek keyakinan kepada perjuangan didukungi menuntut untuk pengorbanan dilakukan di mana Allah S.W.T membentangkan bukti-bukti untuk direnungi para pejuang Islam.

    - Advertisement -

    Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri menyingkap fenomena pada PRU14 yang mesti difahami ahli-ahli PAS sebagai ukuran kepada perjuangan Islam sedang dimartabatkan.

    Seruan untuk terus istiqamah itu dimotivasikannya ketika memberi pengisian dalam program tarbiyah berkala PAS Tambun iaitu Tafaqquh Fiddin PAS Tanjung Rambutan, di sini kelmarin.

    “Perjuangan Islam ini, pada zaman mana sekalipun, pasti ada musuh dan ujiannya. PRU14 yang lalu Allah telah mengajarkan kita untuk memahami erti kemenangan yang sebenar yang menuntunkan kita untuk sentiasa berkorban.

    “Dalam keadaan pihak musuh menfitnah PAS, akhirnya Allah memberi PAS kemenangan berganda di Kelantan dan Terengganu. Selain itu, kita juga dapat saksikan pertambahan kerusi PAS di Kedah dan Pahang.

    “Pada PRU14 yang lalu, rakyat Malaysia membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti Islam yang bersedia memerintah negara. Hal ini demikian terbukti apabila hanya PAS bersama Gagasan Sejahtera mampu memperoleh undi hampir kepada 2.4 juta.

    “(Daripada) 18 Ahli Parlimen PAS, jumlah undi didapati hampir 2.4 juta adalah satu bukti kukuh bahawa rakyat Malaysia sudahpun mula menerima dan memilih PAS sebagai satu wadah kepemimpinan Negara.

    “Politik matang menuntunkan kita untuk bersetuju kepada perkara yang betul meskipun ia datang dari pihak musuh, manakala perkara yang salah, mesti dicegah dan ditetapkan salah,” tegasnya.

    Beliau juga menekankan agar ahli PAS meletakkan keyakinan sepenuhnya terhadap keputusan pimpinan walaupun keputusan tersebut kurang disenangi oleh pendapat peribadi masing-masing.

    “Perkara paling penting yang kita perlu tahu ialah tugas kita sebagai ahli jemaah di peringkat akar umbi iaitu melaksanakan gerak kerja yang telah dirancang oleh pimpinan. Tanpa tenaga ahli di akar umbi, PAS di peringkat Kawasan mahupun Negeri tidak mampu bergerak.

    “Di peringkat pimpinan, masing-masing sudah memainkan peranan mereka sendiri. Apa yang penting ialah agar kita di peringkat ahli PAS turut sama membantu gerak kerja Islam ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/10/2019

    - Advertisement -