Revolusi Industri dan pengaruh terhadap Barat

- Advertisement -

REVOLUSI Ilmiah dan permulaan revolusi industri

Era 18-an merupakan zaman perkembangan ilmu dan teknologi dengan pesat. Kebanyakan teknologi telah dicetuskan di zaman Khilafah al Abbasiah [1], disambung oleh Barat di penghujung Pemerintahan Bergereja yang dikenali sebagai Revolusi Ilmiah, sekitar era 15-17an. Antara tokoh-tokoh tersebut seperti Francis Beacon (1561-1626) dari Inggeris, Decartes (1596-1650) dari Perancis, Galilio Galilei (1564-1642) dari Itali dan ramai lagi.

Kajian-kajian mereka berterusan sehinggalah era Revolusi Industri (1750-1850) selaras dengan Revolusi Ilmiah di Eropah. Revolusi Industri terjadi dengan perubahan besar-besaran di bidang pertanian, ‘manufacture’, pengangkutan dan teknologi serta memberi kesan yang mendalam terhadap sosial, ekonomi, dan budaya di seluruh dunia. Asalnya menggunakan tenaga kerja manusia dan binatang, tetapi berubah kepada penggunaan mesin.

Pembinaan mesin-mesin untuk ‘buat kerja’ menghasilkan produk, pertanian dan sebagainya sedikit sebanyak ‘menyumbang’ kepada kemunculan ‘Ekonomi Kapitalis’. Revolusi Industri bermula di Britain selaku kuasa besar dan ‘jaguh’ dalam banyak siri peperangan dan kemudian tersebar ke seluruh dunia. Istilah ‘Revolusi Industri’ pula antaranya diperkenalkan oleh Friedrich Engels (1820-1895) dari Jerman yang merupakan kawan rapat Karl Marx (1818-1883).

Sepertimana Karl Marx, zaman muda Engles melihat kemiskinan dan pengkelasan kerja yang dahsyat khususnya di Inggeris sehingga memaksa beliau menulis ‘Condition of the Working Classes in England’ pada 1844. Seterusnya mula ‘kamcing’ dengan Karl Marx sehingga bersama sama menerbitkan ‘The Holy Family’. Bahkan beliau juga menyambung penulisan Das Capital Karl Marx setelah kematiannya.

Mencari jalan penyelesaian dalam kemelut penindasan

Kesan kemunculan Revolusi Industri ini menyaksikan kebangkitan golongan buruh yang hilang pekerjaan akibat penggunaan mesin-mesin. Kekayaan hasil tanah banyak diperolehi dan dibolot oleh orang-orang kaya yang mengusahakannya dengan menggunakan mesin yang bernadikan enjin stim. Secara tidak langsung ia menyumbang kepada Ekonomi Kapitalis.

Golongan miskin akan terus miskin manakala orang kaya semakin kaya dengan kecanggihan yang digunakan. Faktor ini mendorong geng-geng Buruh untuk bangkit bersama idea Karl Marx dan Engles menentang Kapitalism. Dari sini berkembangnya pemikiran Sosialism dan Komunisme yang cuba mencari jalan penyelesaian terhadap dunia penindasan.  Penulisan-penulisan mereka tertumpu sistem dan jalan penyelesaian.

Selain daripada bentuk penindasan yang menyelubungi, berlaku pertentangan dengan agama Kristian dan sejak sekian lama. Mereka turut berhadapan dengan keghairahan para pemerintah untuk meluaskan empayar. Suasana kacau bilau ini merugikan rakyat, antaranya Perang Krimea (1853–1856), Perancis Austria (1859) Perancis-Jerman (1870/71), Perang Anglo-Cina (1839 – 1842 dan 1856 – 1860) dan banyak lagi.

Selain itu Sistem Perbudakan (pemerdagangan orang) diamalkan secara meluas era 15, 16 dan 17 oleh Britain sendiri. Kemudian Amerika era 18 dan 19. Era ini juga dikenali sebagai kolonialisasi yang merebak ke serata dunia termasuk alam Melayu yang berhadapan dengan penjajahan British, Portugis dan Belanda. Dalam masa yang sama, pertentangan antara Kristian dan Falsafah juga berterusan sekalipun Eropah telah menjatuhkan Sistem Gereja dengan kemunculan istilah ‘Sekular’.

Kemunculan istilah Sekularism selepas Positivisme

Sekular merupakan istilah yang tidaklah terlalu kuno dalam dunia falsafah mahupun ketamadunan. Benih-benih Sekularism sudah wujud sejak zaman Falsafah Yunani lagi antaranya Epicurus (341-270 SM) dan Marcus Aurelius (121-180). Epicurus ada membincangkan tentang ‘consequentialism’ yang ada unsur-unsur Sekularism. Manakala istilah Sekularism diperkenalkan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906) dari England.

Sekularism adalah adalah konsep ‘kerajaan harus wujud secara terasing daripada agama dan kepercayaannya’. Antara yang  sezaman dengan Holyoake ialah Karl Marx dari Jerman, John Stuart Mill (1806-1873) dari Britain dan Charles Darwin (1809-1882) dari England. Masing-masing menggagaskan pemikiran masing-masing yang mencetuskan kontroversi, Marxisme dan Darwinism.

Tokoh-tokoh Barat ini hidup di era pasca Reinassance yang meruntuhkan kuasa gereja, yang telah memerintah sejak sekian lama. Hidup Holyoake banyak terkesan dengan tokoh-tokoh Falsafah Barat seperti Auguste Comte (1798-1857) dari Perancis yang terkenal dengan pemikiran Postivitisme. Latar belakang hidup Comte yang rencam, sedikit sebanyak mendorong beliau untuk menggagaskan pemikirannya, dan diterjemahkan di dalam tulisannya ‘Système de politique positive’.

Selain itu beliau juga mengaku sebagai Nabi dan mengasaskan agama yang baru untuk manusia. Selain positivisme, beliau juga menyusun sosilogi atau lebih dikenali sosial sejagat yang dilihat penyelesaian kepada segala kemelut. Pertembungan antara agama dan falsafah masih belum berkesudahan walaupun Reinassance sudah 300 tahun tercetus. Kronologi yang berpanjangan akhirnya menyaksikan kemunculan ahli ahli falsafah Pasca Reinnasance yang lebih cenderung ke arah ‘mencari erti hidup dan kebebasan’.

Kehidupan yang rencam mempengaruhi pemikiran

Walaupun mereka baru sahaja ‘menikmati’ kebebasan daripada kongkongan sistem pembodohan gereja, namun ia tidak menjanjikan kesenangan hidup. Karl Marx, Holyoake, Stuart Mill dan ramai lagi tokoh pemikir ini rata-rata berhadapan dengan kerencaman hidup, penindasan, tekanan dan sebagainya. Suasana ini membentuk cara pemikiran mereka yang diselubungi kegelapan.

Seolah-olah pemikiran-pemikiran itu digagaskan untuk melepaskan diri daripada kerencaman hidup. Perlu diingat bahawa Pasca Reinassance merupakan kebangkitan ke arah Pax Britannica yang dikatakan bermula selepas Perang Napoleon pada 1815. Era ini merupakan era pergolakan yang berterusan selama 100 tahun sehingga Perang Dunia Pertama. Tidak pelik jika ahli-ahli falsafah ini menggagaskan pemikiran yang pelik-pelik.

Contoh kemelut hidup, Karl Marx berhadapan dengan pemulauan keluarganya yang menukar agama, bebanan hutang yang banyak, penindasan golongan marhaen dan hidup di era pergolakan. Justeru beliau antara pelopor pemikiran Sosialis yang menentang sistem kapitalis yang menindas golongan bawahan, yang diasaskan oleh Adam Smith. Pemikiran Comte yang diceritakan tadi, sedikit sebanyak mempengaruhi Holyoake.

Kehidupan Holyoake yang juga penuh dengan kerencaman antaranya penjara, kemiskinan dan berkrisis. Walaupun sistem pemerintahan bergereja sudah runtuh, namun elemen ke’Kristian’an masih lagi wujud. Hal ini mewujudkan lagi pertembungan khususnya disuarakan oleh Holyoake. Beliau bertegas dengan kepercayaan tiada tuhan, iaitu ateisme sehinggalah istilah ini dipandang negatif.

Ateisme dan protes terhadap kecanduan Kristian

Ahli-ahli Falsafah Barat Pasca Reinassance ramai yang berfahaman Ateisme, iaitu menolak kewujudan tuhan. Secara umumnya pegangan mereka ini dipengaruhi oleh suasana Barat yang penuh penindasan ketika itu. Penindasan demi penindasan yang berterusan menyebabkan mereka seolah-olah hilang rasa bertuhan. Apatah lagi fobia mereka di era kekejaman pemerintahan bergereja yang menjauhkan masyarakat daripada rasa bertuhan.

Zaman pemerintahan bergereja, mereka menanamkan fahaman bahawa paderi-paderi itu adalah wakil tuhan. Sebarang masalah, perlu merujuk kepada mereka, termasuk pengampunan dosa. Latar belakang kerencaman seperti ini mendorong mereka bangkit mencetuskan Reinassance, dan berterusan hingga ke 18-an. Karl Marx contohnya apabila melihat kongkongan Yahudi dalam kehidupan ayahnya sehingga membuatkan ayahnya menukar agama Kristian.

Di dalam tulisannya, Karl Marx berpendirian bahawa agama itu sepatutnya adalah satu protes melawan penderitaan. Tetapi sayangnya agama hanya sebagai candu untuk mengubati kepedihan kaum yang tertindas dengan dijanjikan fantasi syurgawi. Lantas menyebabkan penganut penganut agama ini (merujuk kepada Kristian) tidak bangun menentang kezaliman, sebaliknya sabar dan pasrah sahaja terhadap apa jua bentuk penindasan terhadap mereka.

Sama juga seperti Comte, yang diceritakan tadi. Beliau melalui sejarah hidup pertentangan dengan Kristian Katholik. Apabila berlaku situasi agama tersebut, beliau seolah-olah melihat ia perlu diperbaiki, lantas beliau menggagaskan agama barunya sendiri demi mencari kebahagian hidup. Begitu jugalah Holyoake yang terkesan dengan ateism atas faktor-faktor ketebalan pengaruh gaya hidup tidak bertuhan yang diceritakan tadi.

Kebangkitan Barat memberi kesan terhadap dunia Islam

Apabila meneliti sejarah mereka, kita akan dapati bahawa Falsafah Pasca Reinassance berbeza dengan Falsafah Yunan yang lebih memaksimumkan penggunaan akal tanpa di’kacau’ sangat dengan suasana kerencaman hidup. Apatah lagi mereka baru sahaja melepasi zaman kegelapan Eropah. Pax Britannica dilihat paling berjaya sekalipun di sudut suasana rakyat marhaen ketika itu sangat rencam.

Istilah Sekular yang diperkenalkan oleh Holyoake tadi mula ‘dikomersialkan’ sehingga memberi kesan terhadap Kerajaan Islam Khilafah Uthmaniah di era 18-an (Kurun ke 19). Khilafah Uthmaniah mengalami era kemerosotan [2] bermula sekitar 1828 hinggalah kejatuhannya pada 1918-1924. Kebangkitan di Barat seolah-olah ‘memaksa Uthmaniah untuk ‘mengcopy-paste‘ kemodenan Barat, antaranya sistem perbankan, kehakiman, pendidikan dan sebagainya.

Idea pembaratan yang dilihat satu kemodenan, diimport masuk di era Sultan Abdul Majid (1823-1861) sehingga mempengaruhi anak-anak muda Turki yang melanjutkan pelajaran ke Barat. Di sana ada yang terpengaruh dengan Young Italy yang digagaskan oleh Giuseppe Mazzini pada 1931. Kepulangan anak-anak muda Turki membawa idea Barat di dalam Khilafah Uthmaniah sehingga mewujudkan Perlembagaan Baru Turki 1876 dan Geng Ittihad wat Taraqqi pada 1889 seterusnya Kebangkitan Young Turks pada 1908.

Kita boleh lihat bagaimana punca berlakunya resapan ideologi Barat di dalam pemerintahan Islam. Ya, tidak dinafikan Revolusi Industri sedikit sebanyak membentuk dunia kemodenan ketika itu. Hal ini mendorong Khalifah untuk menggesa Umat Islam supaya melibatkan diri dalam persaingan itu, tanpa menyedari rancangan musuh dalam mengatur ke arah meruntuhkan pemerintahan Islam yang dilihat ‘mengacau’ agenda mereka.

Perang Dunia, Perang Dingin dan kemunculan Muslim Sekular

Kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada 1918-1924, seiringan dengan kemunduran Britain yang pernah mendominasi dunia sejak Perang Napoleon 1815. Persaingan sesama Barat juga akhirnya mencetuskan Perang Dunia Pertama dan manusia sekali lagi menjadi korban kepada keghairahan pemerintah merebut kuasa. Revolusi Industri tidak terhenti bersama Pax Britannica, sebaliknya diteruskan sehinggalah mesin-mesin dijadikan alat untuk perang.

Saintis-saintis Barat diberikan tempat sebagai satu profession, dan dilembagakan. Antaranya Albert Einstrein (1879-1955), Julius Robert Oppenheimer (1904-1967) dan ramai lagi. Disebabkan mereka hidup di ambang Perang Dunia 1 dan 2, mereka lebih cenderung kepada kajian kimia untuk menghasilkan bom. Apatah lagi dunia dalam persaingan teknologi [3] persenjataan di Era Perang Dunia Pertama hingga Perang Dunia Kedua, menyaksikan penindasan yang lebih dahsyat apabila nuklear mula diuji dan dibangunkan.

Perang Dunia II disambung dengan Perang Dingin [4], dan seterusnya kelahiran golongan Orientalis Baru (Neo Orientalism). Kemunculan kelompok ini lebih kepada mengkaji untuk bersedia dengan kebangkitan Islam. Mengikut mereka potensi yang ada pada Islam perlu dibendung dengan Sekular, yang mana istilahnya diperkenalkan oleh Holyoake yang diceritakan di awal tadi. Amerika merancang untuk melahirkan Muslim Sekular.

Cheryl Bernand pernah mengarang buku bertajuk ‘Civil Democtaric Islam’ menceritakan tentang orang Islam yang berfahaman Sekular ialah mereka yang menganggap bahawa agama adalah urusan peribadi dan tidak boleh dijadikan sebagai sistem yang universal. Ia juga tidak boleh menjadi asas atau sandaran untuk menggazetkan undang-undang dan peraturan kerana ia bercanggah dengan hak individu. Sebab itulah tidak pelik kalau agamawan hari ini ada timbulkan isu ‘dosa peribadi’.

Selain itu, muslim yang Sekular menurut pendefinisian Cheryl ialah mereka yang memisahkan agama dari menjadi asas kepada sesebuah negara dan juga mengambil agama dalam perkara yang terpilih sahaja. Ada juga di kalangan mereka yang terlalu ekstrim sekularnya, yang menolak terus agama dan ada yang masih menerima agama, tapi hanya dalam bab kerohanian dan sekadar peribadi.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1192454360948035/

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1182996178560520&id=251201991739948
[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1191125067747631&id=251201991739948
[4] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1206540146206123/HARAKAHDAILY 16/10/2019

- Advertisement -

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -