Gesa kerajaan haramkan ‘vape’ sepenuhnya

shaharizukarnain
- Advertisement -

SAYA meneliti jawapan Menteri Kesihatan semalam ada menyatakan penggunaan rokok elektronik atau vape di Malaysia sangat membimbangkan dengan membabitkan 300,000 pelajar sekolah, dan lebih mengejutkan daripada jumlah tersebut 50,000 pelajar merupakan pelajar perempuan.

- Advertisement -

Bilangan ini menunjukkan penggunaan vape semakin berleluasa walhal saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok dan mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs) boleh menyebabkan kanser.

Malah, tanggapan masyarakat yang mengatakan pengambilan vape boleh membantu perokok berhenti merokok tidak benar sama sekali. Hal ini kerana, menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Racun Negara, vape mengandungi Nikotin penyebab ketagihan malah setiap 40mg Nikotin boleh menyebabkan kematian.

Buktinya, sehingga kini terdapat 28 kes dikaitkan dengan vape di Amerika Syarikat dan satu di United Kingdom. Hal ini membuktikan pengambilan vape menyebabkan ketagihan dan ia berbahaya sebagaimana rokok sekaligus boleh mengancam nyawa rakyat Malaysia jika tidak dibentung.

Tambahan pula, tindakan Kerajaan melarang penjualan vape melainkan ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar tidak akan memberi apa-apa kesan pengurangan penggunaan vape jika tanpa penguatkuasaan yang benar-benar serius dan menyeluruh.

Justeru, saya menggesa Kerajaan agar segera mengharamkan pengambilan vape sepenuhnya. Langkah ini telahpun dijalankan di negera-negara lain seperti Mexico, Jordan, Thailand, Singapura, Brunei, Oman dan banyak lagi. Langkah ini juga selari dengan fatwa yang mengharamkan pengambilan vape atas dasar pengambilan vape mengundang mudharat besar dan ia bersesuaian dengan sabda Nabi SAW:

وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً.

Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambil meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
16 Oktober 2019 | 17 Safar 1441 – HARAKAHDAILY 16/10/2019

- Advertisement -