Dakwaan KUIS badan pengganas tidak berpijak di lapangan

Advertisement

KUALA LUMPUR: “Yang Berhormat, baca surat khabar, (tetapi) Yang Berhormat tidak berpijak di lapangan,” demikian bidas Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) kepada Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka).

Beliau selaku Ahli Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) membidas persoalan Poay Tiong yang cuba menegakkan kepalsuan tuduhan mengatakan KUIS adalah badan pengganas.

“Dari segi lapangan, kita perlu menyaksikan bahawa dari wakil-wakil ulamak ini ada daripada Saudi, Emirates, dan negeri yang berkenaan, ada wakil-wakil dan saya sendiri sebagai ahli dia, boleh pergi umrah, (dan) tidak dihalang,” ujarnya.

Beliau berkata dimikian ketika menjawab persoalan yang dicelah Khoo Poay Tiong semasa sesi perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, KUIS lebih bersifat kepada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akademik serta keilmuan, bukan persenjataan dan pengganas.

Katanya, KUIS adalah satu pertubuhan yang besar di mana berpusat di Qatar, serta mempunyai cawangan di seluruh dunia termasuk di Eropah dan di Amerika.

“Ia juga dianggotai oleh ilmuan-ilmuan Islam dalam pelbagai mazhab bertujuan untuk mendedahkan umat islam mengenai ilmu-ilmu, bahkan persidangan dirasmikan di beberapa negara, di Turki, Australia, Sudan dan sebagainya.

“Apa yang berlaku mungkin terlepas pandang atau tersilap pandang dengan hubungan diplomatik diantara Qatar dengan negeri-negeri yang lain, (ia) tidak ada kena mengena dengan negeri yang lain” jelas beliau.

Terdahulu, Lim Kit Siang dalam ulasan beliau ada membangkitkan penglibatan Abdul Hadi dengan mengatakan ‘seorang pemimpin pembangkang Malaysia’ terlibat dalam KUIS.

KUIS, kata Lim, dimasukkan dalam senarai pengganas oleh empat negara Arab, iaitu Arab Saudi, Mesir, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrin. – HARAKAHDAILY 16/10/2019