Adakan juga Kertas Putih beberapa isu terkini

- Advertisement -

GESAAN pelbagai pihak agar diadakan Kertas Putih Parlimen atas beberapa isu berbangkit wajar dilaksanakan demi membuka penjelasan yang telus untuk dimaklumi seluruh warga rakyat. Kami cukup yakin dan percaya bahawa maklumat sebenar adalah asas kepada kebenaran, lebih-lebih lagi di era persepsi dan fitnah yang mudah berlegar dan dapat diakses oleh setiap individu.

- Advertisement -

Bagi membuktikan segala penyataan, tuduhan dan dakwaan, Kertas Putih Parlimen boleh menjadi salah satu penyelesaiannya. Oleh itu, sesiapapun tidak perlu menyangkal usaha bagi mengadakannya atas sebarang tajuk bakal disiasat bentang. Kami mengalu-alukan ianya dilakukan tidak secara terpilih, tetapi merangkupi semua isu pernah disoal, dilapor atau dikemuka rakyat.

Kami mengalu-alukan pimpinan DAP khususnya Lim Kit Siang dan Dr P Ramasamy untuk diadakan Kertas Putih berkaitan Kesatuan Ulamak Sedunia, ISIS dan 1MDB. Walaupun mereka lebih awal sinikal memburukkan PAS, namun ia bakal membuka peluang Kertas Putih yang telus untuk menutup fitnah jahat DAP selama ini. Namun, kami mendesak agar beberapa Kertas Putih lagi turut dihasilkan.

Antaranya kenyataan dan laporan polis pernah dibuat bekas orang penting DAP sendiri, orang awam dan ahli akademik mengenai keterlibatan dan penerimaan dana asing oleh DAP. Antaranya termasuk daripada Israel dan lain-lain serta pendanaan oleh pemimpin DAP kepada kumpulan pemisah LTTE di Sri Lanka yang membawa kepada penangkapan pemimpin mereka baru-baru ini.

Terbaru juga apabila muncul isu untuk menjadikan negara ini sebagai Kingdom of God yang terdahulu telahpun dikemukakan bukti oleh banyak pihak penglibatan tokoh DAP dengan gerakan pelampau Kristian Evangelis. Hal tersebut dilihat meluas hingga berlaku beberapa kejadian melibatkan doa secara Kristian di sekolah selain menzahirkan pembangunan yang menonjolkan imej salib.

Ianya memunculkan kebimbangan rakyat yang menuntut Kertas Putih mengenainya dihasilkan. Apatah lagi hal-hal tersebut dilihat beriringan dengan perkembangan yang turut berlaku di peringkat global di mana memungkinkan risiko atas keselamatan dan kedaulatan negara ini. Maka ia tidak harus sama sekali disembunyikan daripada warga rakyat yang mahukan penjelasan.

Semua itu sangat berkait dengan Perkara 3, 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang ‘sentuhan’ secara tidak wajar atasnya boleh menatijahkan banyak keburukan atas rakyat dan negara. Malah, rakyat negara ini pasti tidak lupa bahawa tragedi hitam 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada sikap melampau beberapa pihak terhadap sebahagian Perkara tersebut.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/10/2019

- Advertisement -