Tajuk Debat PTR cetus ketidakharmonian

- Advertisement -

PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak penganjur yang tidak prihatin dengan pemilihan tajuk bagi Debat Piala Tun Razak ke-8, yang berlangsung pada 11-13 Oktober 2019 yang baru berlalu.

Tajuk-tajuk yang dikemukakan itu jelas tidak mencerminkan naluri dan nilai yang ingin dibina dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Tajuk mengenai penulisan semula al-Quran sangat tidak wajar, bahkan ianya dilihat sebagai usaha merendah-rendahkan martabat Islam.

Selain itu, perkara mengenai homoseksual juga merupakan perkara yang tidak diterima dalam negara ini. Perkara ini bercanggah dengan akidah Islam.

Manakala pemertabatan Undang-undang Syariah yang telah berjalan secara harmoni dengan Perundangan Sivil juga tidak perlu dipersoakan kewujudannya.

PUM berpandangan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, adalah antara perkara yang merupakan satu bentuk-bentuk provokasi yang boleh mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat negara ini, khususnya secara majoritinya adalah masyarakat Muslim.

PUM percaya bahawa terdapat juga dalam kalangan non-Muslim yang tidak selesa dengan tajuk-tajuk debat yang dikemukakan sebegitu rupa.

Ia menggambarkan betapa jijiknya pemikiran yang masih ada terutama pihak penganjur yang menganjurkan debat ini.

PUM dan masyarakat umumnya tidak boleh menerima penjelasan pihak penganjur yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertahankan tindakan mereka dalam hal ini.

Dalam masa yang sama, PUM memohon pihak polis dan KPM untuk menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang berkenaan berdasarkan prinsip undang-undang sedia ada.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

DATO’ AL-SYEIKH ABDUL HALIM ABDUL KADIR
Yang Di-Pertua,
Persatuan Ulama Malaysia – HARAKAHDAILY 15/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -