Pemuda PAS tuntut penganjur debat mohon maaf

fadli shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menuntut penganjur Debat Piala Tun Razak (PTR) 2019 memohon maaf secara serius kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada peserta debat yang terlibat berkenaan tajuk debat yang telah mencetuskan kontroversi.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari, tajuk yang diberikan pihak penganjur untuk pertandngan debat tersebut seperti ‘Islam tidak menghalang Homoseksual’ dan ‘Penulisan semula Al-Quran’ adalah satu tindakan yang boleh menggugat akidah pendebat dan pendengar.

“Perlu diingatkan bahawa, didalam debat ini dia ada satu aspek yang dinamakan Tuiristik, iaitu satu kebenaran yang tidak boleh disangkal lagi, satu tambah satu akan sentiasa bersamaan dua, anda tidak boleh tukar menjadi tiga atau empat.

“Jadi, apabila penganjur debat PTR ini memilih tajuk-tajuk yang boleh menggugat akidah seperti ini, saya bimbang akidah ini akan dijadikan bahan mainan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam negara ini,” ujarnya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Justeru itu, beliau mewakili DPPM sekali lagi menuntut sekeras-kerasnya penganjur pertandingan debat tersebut memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya peserta yang mendapat undian tajuk berkenaan serta memohon pihak penganjur berjanji tidak akan mengulangi perkara-perkara sebegitu pada masa akan datang.

Ditanya megenai permohonan maaf melalui satu kenyataan daripada dua hakim debat itu, katanya, bahasa-bahasa yang digunakan dalam permohonan maaf tersebut masih belum cukup untuk dikatakan permohonan maaf.

Ini kerana, dalam kenyataan tersebut, beliau menafsirkan ia adalah permohonan maaf kepada pihak-pihak yang tersinggung, ujarnya.

“Jadi, saya rasa permohonan maaf itu adalah tidak serius, ia adalah daripada hakim berkenaan, yang kita mahukan adalah penganjur program berkenaan untuk memohon maaf,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau juga meminta supaya kerajaan memantau isu-isu seperti ini serta mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang sekiranya terdapat pihak-pihak yang cuba mahu menggugat Rukun Negara.

Hal ini katanya kerana, penganjuran tajuk itu bukan setakat bertentangan dengan Islam, bahkan bertentangan dengan rukun negara.

“Sebab Rukun Negara, yang pertama ialah kepercayaan kepada tuhan dan menghalalkan homoseks ini menggugat salah satu aspek kepercayaan kepada tuhan.

“Akidah bukannya ‘try and error’, akidah adalah persoalan yang sudahpun termaktub dan ia perlu dihormati dan pegagng oleh semua pihak dalam negara ini, khususnya oleh individu yang beragama islam,” jelasnya.

Pasukan yang terpaksa menyokong tajuk tersebut merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK), namun, pasukan itu berpendirian tegas dengan bertindak menarik diri dalam pertandingan tersebut. – HARAKAHDAILY 15/10/2019

- Advertisement -