Cadang mansuh aliran sastera, sains perlu kajian

- Advertisement -

KUALA KEDAH: PAS memandang serius cadangan mengenai pemansuhan aliran sastera dan sains Tingkatan Empat yang disuarakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan baru-baru ini, selain menggesa agar pihak kementerian itu tidak terburu-buru melaksanakan syor tersebut pada tahun hadapan.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, meskipun cadangan itu adalah natijah perbincangan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, namun isu pemansuhan aliran itu perlu mengambil kira pandangan daripada badan-badan tertentu yang terlibat secara lansung dengan hal pendidikan seperti NUTP, PIBG atau lain-lain berkaitan.

“Respons dari pihak tersebut bagi saya penting kerana ia dapat membuka ruang rakyat memberi pendangan mengenai isu berkaitan serta memperolehi input-input terbaharu dalam penambahbaikan sistem pendidikan negara,” jelas beliau.

Di samping itu, tambah beliau, Kementerian Pendidikan juga perlu menimbangkan keperluan khas seperti agihan tenaga guru terlatih, fasiliti sekolah pinggir bandar, luar bandar, peralatan pembelajaran serta perkara-perkara lain yang bersangkutan supaya pelaksanaan syor tersebut sememang memenuhi kehendak realiti pendidikan semasa sebelum cadangan pemansuhan aliran berlaku.

“Tidak sewajarnya keputusan pemilihan matapelajaran Tingkatan Empat hanya menurut kehendak pelajar sahaja dengan nasihat kaunselor, tetapi Kementerian Pendidikan perlu mengadakan kajian yang lebih mendalam tentang pro dan kontra mengenai cadangan berkenaan,” tambahnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah.

Oleh itu, Dr Ahmad mengingatkan sama ada sedar atau tidak, perangkaan tenaga jenis pekerjaan sebenarnya bermula dari pemilihan aliran di Tingkatan Empat kerana pada peringkat inilah hala tuju pembangunan negara bermula.

Oleh itu, kata beliau sekiranya kerajaan memilih untuk menjadi negara berteknologi tinggi, maka perlu ada sejumlah peratusan pelajar yang akan mengikuti aliran sains teknologi.

Begitu juga, ujarnya jumlah pelajar tertentu bagi aliran kemahiran yang kini mula mendapat perhatian ramai.

Oleh demikian, katanya PAS bimbang syor pemansuhan kedua-dua aliran pengajian tersebut akan menjadikan para pelajar sebagai bahan ujikaji dan ini tidak adil kepada mereka.

Justeru itu, tambahnya PAS mendesak supaya kementerian menangguhkan cadangan pemansuhan berkenaan dan menggesa satu kajian terperinci yang melibatkan semua pihak diadakan agar keputusan yang terhasil benar-benar masak.

“Adalah lebih baik kajian bersama Kementerian Sumber Manusia diadakan bagi menyelaraskan jangkaan guna tenaga pada masa hadapan sesuai dengan keperluan industri 4.0.

“Janganlah kerana mempromosi slogan ‘Malaysia Baharu’, semua yang lama nak dibuang,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2019

- Advertisement -