Royalti: Apa perubahan yang kita buat?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Agenda reformasi sepatutnya dirasai oleh rakyat, bukan hanya pimpinan negara, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau juga mempersoalkan mengenai royalti minyak yang sepatutnya diterima Negeri Kelantan memandangkan agenda reformasi amat berkait rapat dengan isu tersebut.

“Kalau dulu Kelantan tidak dapat, hari ini pun masih tidak dapat, jadi apa ‘reform’ yang kita buat? Apa perubahan yang kita buat?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurut beliau, walaupun terdapat perubahan dilaksanakan di peringkat Parlimen, namun sekiranya perubahan tersebut tidak dirasai oleh rakyat, boleh dikatakan ia sebenarnya tidak dihayati oleh pemimpin ataupun rakyat.

“Reformasi ini bukan hanya kita yang merasainya, tapi (perlu) turut dirasai oleh rakyat semua, walaupun perubahan dibuat diperingkat Parlimen, tetapi kalau sekiranya rakyat tidak merasai perubahan tersebut, maka apa yang dibuat itu tidak dihayati.

“Maka agensi yang paling penting dalam agenda reformasi ini, adalah kerajaan sendiri mesti bersifat bersedia untuk membuat perubahan. Sebagai contoh kita mengakui bahawa kita ada beberapa item yang kita peru buat ‘reform’, contohnya soal royalti minyak,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini sangat berkait rapat dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan wilayah seimbang yang sekian lama diulang-ulang.

Katanya, hasrat untuk mengubah perkara tersebut tidak akan tercapai sekiranya agenda ‘reform’ yang dilaungkan itu tidak diiringi dengan perkara atau tindakan yang sepatutnya diubah.

“Kalau kita listkan semua bajet kita, kita harus mengakui bahawa kita masih lagi berada dalam situasi yang sama, (contohnya) rancangan wilayah seimbang, jelas tidak ada sebarang rangsangan ekonomi pun untuk membangunkan wilayah tersebut.

“Mungkin yang boleh saya sebut ialah wilayah-wilayah di Pantai Timur, yang tidak nampak satu usaha pemangkin kearah ransangan ekonomi bagi memajukan (wilayah tersebut), sepatutnya pembangunan wilayah seimbang ini dapat kita buktikan kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Sesi Dialog dan Libat Urus Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, anjuran Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tiada jaminan bahawa kerajaan PH akan memberi royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan walaupun tampuk pemerintahan kerajaan hari ini ada menyebut untuk membayar royalti tersebut sekiranya Kelantan menarik balik saman yang dikenakan terhadap Kerajaan Pusat.- HARAKAHDAILY 14/10/2019

 

- Advertisement -