BEST bakal lahirkan Ikon Muslimat P Pinang

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Lajnah Pemerkasaan Parti Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Ameerah Pulau Pinang telah menganjurkan program Build Everyone Strong Talent (BEST) di Pongsu Seribu, di sini semalam.

- Advertisement -

Antara objektif BEST yang perlu disertai oleh para peserta sebanyak lima siri ialah memperkasakan peranan dan tanggungjawab ikon AKIFI dan Muslimat Muda PAS ke arah kemenangan PAS dalam PRU15, selain mengukuhkan keterampilan AKIFI.

Program BEST siri pertama ini mensasarkan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pulau Pinang, Ikon AKIFI dari setiap Dewan Muslimat PAS Kawasan serta Ikon Muslimat Muda dari Ameerah seluruh Pulau Pinang.

Seramai 53 peserta mendaftarkan diri untuk program ini, dengan mengikuti kertas kerja bertajuk “Akidah dan Perjuangan” yang dibentangkan oleh Pengerusi Lajnah Tarbiah Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Annisaa Yusuf.

Juga diadakan pengisian khas mengenai Kepimpinan AKIFI yang dibentangkan penyampaiannya oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus.

Ustazah Hasanah banyak menekankan mengenai usaha untuk menerapkan nilai Alim, Haraki dan juga Sufi dengan pesanan supaya memulakan perubahan dan penerapan nilai dari diri sendiri terlebih dahulu, seterusnya menjadi agen contoh kepada masyarakat.

Program berakhir dengan taujihat oleh Timbalan Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Maziah Khamis yang menyentuh mengenai siap siaga perjuangan menegakkan kalimah Tauhid. – HARAKAHDAILY 13/10/2019

- Advertisement -