Siapa tunggang siapa?

- Advertisement -

BILA kena tangkap bawah SOSMA, dia pun sebut persamaan dia dengan perjuangan rakyat Palestin yang memperjuangkan hak mereka untuk cover. Sebab apa tak sebut kisah orang-orang dia sendiri yang kena bunuh di sana? Cari nilai kesian guna Palestin?

Bila nak tarik undi, nak dapat kuasa, bagi contoh nak perintah macam Umar bin Abdul Aziz. Kenapa tak bagi contoh orang Kristian memerintah. Tak akan langsung yang tak ada dari Kristian yang adil memerintah? Atau tiada nilai keadilan?

Bila mahu melawan jemaah Islam, maka direka slogan serta mengaku dia juga dari kalangan jemaah yang memperjuangkan Islam, tetapi contoh-contoh bawaan mereka, jelas membuktikan mereka menjadi khadam kepada kafir. Sebab apa malu untuk akui yang kafirlah tuan jemaah itu?  Takut umat Islam akan marah?

Bila mahu menghantar pulang Zakir Naik ke India, maka disebutlah mazhab-mazhab Islam yang dia sendiri tak faham apa sebenarnya, konon nak selamatkan orang Islam dari kesesatan. Tak mahu pulak dia berdialog guna kitab masing-masing nak tentukan siapa sesat. Kenapa? Takut orang tahu yang kau betul-betul sesat?

Bila nak ajar tulisan Jawi dekat sekolah, mengamuk-ngamuk tak nak, macam orang nak Islamkan dia. Bila berniaga tahu pula cari halal dalam tulisan Jawi. Apa hal? Takut tak laku?

Bila teruk kena hentam, mulalah cari masjid surau, buat agihan zakat, bantuan itu, bantuan ini, puji-pujilah Islam baik, Islam bagus, Islam agama keamanan. Dah tahu semua Islam bagus, terbaik, sebab apa tak masuk Islam? Atau sengaja nak dapatkan keuntungan politik?

Maknanya Islam ini adalah agama penyelamat. Islam memberikan perlindungan bagi manusia. Islam adalah agama sejagat. Semua bergantung kepada Islam, membuka ruang kebaikan. Islam tempat agama lain mahu berteduh, Islam menyebarkan keamanan.

Bila kafir tinggal di negara Islam, mereka aman, tetapi belum tentu jika sebaliknya. Islam mesti dipraktikkan, bukan hanya alat untuk melepaskan diri sebagaimana golongan yang saya sebutkan di atas lakukan. Mereka hanya mahu melepaskan diri dari dipandang hina dengan menggunakan nama Islam.

Jadi perkataan menunggang agama sekarang sudah jelas sesuai dipakaikan kepada siapa. Hanya tersenyum, tersengih bagi meraih simpati, dan pada kesempatan lain mereka akan menikam dengan bersungguh-sungguh bagi mematikan Islam. Dan ia dibantu oleh khadam mereka.

Kita hendaklah jelas memperjuangkan Islam dengan sentiasa konsisten dalam menyatakan sikap kita kepada Islam. Lebih dari itu, kita melaksanakannya dengan semaksima mungkin apa sahaja suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. Tanpa rasa takut kepada apa-apa ugutan. Kita menjulang Islam kerana Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.

Tidak takut disingkir dari Kerajaan Pusat suatu ketika dahulu. Tiada rasa rendah diri apabila hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen. Tidak malu mengambil bekas lawan sebagai rakan dalam gandingan politik, tidak berundur dengan prinsip walau diugut tidak akan menang ke Putrajaya. Sanggup dibuang rakan yang dikatakan kuat bagi mempertahankan pegangan.

Tidak menerima tawaran menjadi pembesar negara jika tiada ruang kebebasan untuk mengembangkan asas parti kepada negara. Tidak rasa hina bila kalah di beberapa negeri. Langsung tidak merasa jijik apabila memilih musuh paling keras, paling lama dan paling dibenci semenjak dahulu, pernah mengkhianati dan berbagai lagi kejahatan politik yang dilakukan untuk menjadi rakan politik bagi menghapuskan musuh yang lebih jahat.

Ini semua kerana Islam. Bukanlah Islam itu hanya dikeluarkan dari setor simpanan apabila mahu digunakan, bagi mencari jaminan keselamatan pangkat dan harta dunia ini. Alhamdulillah semakin lama, semakin terserlah kebenaran. Hanya PAS yang jelas istiqamah dengan Islam. Walaupun kurang sempurna, tetapi jelas, PAS pilihan paling baik di Malaysia. Moga dibukakan juga pintu hati mereka agar diperlihatkan kebenaran ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 12/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -