Menteri berbohong isu pindaan RUU Buruh – MTUC

- Advertisement -

LATAR belakang:
 
Pada 7 Okt 2019,  Kementerian Sumber Manusia membentangkan Rang Undang-undang pindaan Akta Perhubungan Perusahaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Kementerian mendakwa pindaan yang dikemukakan adalah bersandarkan dialog (engagement) dengan pelbagai pihak berkepentingan dan mengikut semangat Tripartism.

Akta Perhubungan Perusahaan adalah satu daripada tiga akta di bawah pembaharuan undang-undang perburuhan (LLR) yang diperjuangkan oleh MTUC sekian lama.

Dua lagi akta terbabit adalah Akta Kerja dan Akta Kesatuan Kerja. Rang undang-undang pindaan untuk dua akta ini belum dibentangkan di Parlimen.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mengarahkan penubuhan  Jawatankuasa Teknikal Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) untuk memerinci  cadangan-cadangan bersabit LLR daripada ahli tetap NLAC.

Menurut Menteri, jawatankuasa teknikal wajib  memuktamadkan senarai cadangan atau pindaan untuk kelulusan NLAC sebelum dihantar untuk kelulusan kerajaan dan Parlimen.

Sayugia diingatkan Ahli Tetap NLAC adalah Kementerian Sumber Manusia, MEF dan MTUC selaku pihak berkepentingan utama (main stakeholders) yang mewakili pekerja dan majikan di Malaysia.
 
Realiti adalah:

Kementerian Sumber Manusia tidak memanggil mesyuarat Jawatankuasa Teknikal untuk memuktamatkan cadangan pindaan LLR untuk dikemukakan kepada NLAC.

Pada Ogos 2019, MTUC dan MEF memaklumkan mesyuarat NLAC yang dipengerusikan oleh Menteri bahawa jawatankuasa teknikal majlis belum memuktamadkan senarai cadangan atau pindaan bersabit LLR sebagaimana diarahkan beliau sebelum ini. Bagaimanapun tidak ada tindakan susulan daripada Menteri untuk membetulkan keadaan ini.
  
Pada 26 September 2019,  Kementerian Sumber Manusia memaklumkan MTUC menerusi e-mail bahawa ia sudah menghantar segala pindaan bersabit tiga akta perburuhan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan. 
 
Cadangan pindaan ini tidak mendapat apa-apa kelulusan daripada Jawatankuasa NLAC mahupun NLAC sendiri tetapi hanya memperolehi persetujuan Menteri.
 
Pada 27 September 2019, mesyuarat bulanan NLAC diadakan di mana MTUC membantah tindakan Kementerian mengemukakan senarai cadangan pindaan tiga akta itu kepada Peguam Negara tanpa kelulusan NLAC mahupun penelitian oleh jawatankuasa teknikalnya. Bantahan sama disuarakan oleh MEF.

Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Ketua Setiausaha kementerian hanya menjawab bahawa Kula Segaran sendiri yang mengarahkan senarai cadangan itu dihantar ke Jabatan Peguam Negara tanpa kelulusan NLAC.
 
Tindakan Menteri itu bermakna beliau sendiri melanggar jaminan dan komitmen yang diberikannya kepada MTUC dan MEF untuk merujuk cadangan dan syor pindaan tiga akta berkenaan kepada pihak NLAC sebelum tindakan susulan diambil. 
 
Ini secara langsung bererti pindaan yang dihantar kepada Peguam Negara untuk dibentangkan di Parlimen tidak memperolehi maklum balas atau mandat NLAC.

Justeru, dakwaan Menteri kononnya pihaknya memperolehi maklum balas yang dikehendaki daripada semua pihak berkepentingan adalah pembohongan jelas dan nyata.
 
Kesanggupan Menteri menghantar cadangan pindaan tiga akta berkenaan kepada Peguam Negara dan membelakangkan NLAC, khususnya MTUC, bermakna pindaan itu tidak bersandarkan aspirasi dan keinginan 15 juta pekerja di negara ini.

Pada mesyuarat NLAC 27 September itu, MTUC dan MEF  bersama-sama menggesa Kementerian Sumber Manusia supaya menarik balik senarai cadangan pindaan yang dihantar kepada Peguam Negara dan membentangkannya kepada Jawatankuasa Teknikal untuk dimuktamadkan sebelum diluluskan oleh NLAC, selaras dengan arahan Menteri sebelum ini. 
 
Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian bersetuju membawa permohonan rasmi itu untuk dipertimbangkan oleh Menteri.

MTUC dan MEF tidak menerima sebarang respon daripada Menteri terhadap permohonan itu. Pada 7 Oktober, MTUC terkejut membaca laporan media bahawa Menteri telah membentangkan cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan di Parlimen.  Beliau sekali gus memperlekehkan peranan NLAC dan aspirasi pekerja apabila bertindak secara bersendirian (unilateral) membentangkan usul pindaan berkenaan.
 
MTUC juga terkejut dengan ‘kebolehan luar biasa’ Jabatan Peguam Negara menapis cadangan pindaan untuk tiga akta perburuhan yang melibatkan ratusan peruntukan undang-undang dalam  hanya 10 hari.
 
Ia mencerminkan keghairahan Kementerian, pejabat Peguam Negara dan Kabinet meluluskan secara tergesa-gesa pindaan undang-undang yang lemah dan meminggirkan MTUC dan MEF selaku pihak berkepentingan utama mewakili pekerja dan majikan negara ini.  
 
Dengan meminggirkan MTUC dan MEF di dalam NLAC Kula Segaran bukan saja mengkhianati amanah dan kepercayaan warga pekerja, tetapi turut melanggar Konvensyen 144 Rundingan ‘Tripartite’ Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 2002.
 
Seksyen 4 Konvensyen itu jelas membawa maksud bahawa peranan kerajaan dalam meminda sebarang undang-undang buruh adalah bersifat menyediakan sokongan pentadbiran (administrative support) dan bukannya mengambil alih kuasa pihak berkepentingan yakni MTUC dan MEF dalam menentukan kesesuaian cadangan pindaan berkenaan.
 
Pendirian MTUC
 
Tiga Akta Perburuhan Malaysia iaitu Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Kerja dan Akta Kesatuan Sekerja adalah sandaran utama untuk pekerja untuk mendapatkan pembelaan daripada penidasan majikan atau pun tindakan  kerajaan yang tidak adil.  
 
Justeru, pembaharuan atau reformasi tiga akta ini perlu dilakukan secara holistik dan dibentangkan secara total kepada Ahli Parlimen kerana tiga akta berkenaan saling berkait dan memberi impak cukup besar kepada nasib 15 juta pekerja dan majikan mereka.
 
Atas sebab itulah peranan NLAC, khususnya MTUC dan MEF, amat penting  dalam mendapatkan maklum balas, cadangan dan saranan dalam menggubal pindaan-pindaan yang sesuai. 
 
Sayugia ditegaskan sekali lagi MTUC dan MEF adalah pihak berkepentingan utama mewakili majikan dan pekerja di negara ini.
 
Justeru MTUC kesal apabila Menteri melanggar proses permuafakatan di dalam NLAC dan memungkiri janji sendiri untuk memberikan NLAC ruang secukupnya untuk meneliti dan mengesahkan cadangan-cadangan pindaan yang akan dibawa untuk kelulusan Kabinet dan Parlimen.
 
Pembentangan pindaan Undang-undang Akta Perhubungan Perusahaan pada 7 Oktober lalu  dilakukan tergesa-gesa, tanpa mandat NLAC dan tidak menyumbang kepada  pindaan holistik yang diperlukan untuk ketiga-tiga akta berkenaan.
 
MTUC mencadangkan pihak Kementerian menarik balik rang pindaan akta-akta berkenaan dan memanggil mesyuarat NLAC untuk menapis dan memperakukan syor pindaan yang sesuai demi kesejahteraan pekerja sebelum sebarang tindakan susulan diambil.   
 
Kegagalan Kula Segaran berbuat demikian hanya akan menambah persengketaan perusahaan (industrial disharmony) dan menyebabkan semakin ramai pekerja dieksploitasi akibat dasar dan undang-undang lemah kerajaan.  – HARAKAHDAILY 11/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -