Kerajaan perlu gerak pembangunan ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang dibentangkan seimbang pada asasnya kerana mengalami penurunan sebanyak 5.57 peratus berbanding peruntukan Belanjawan 2019.

- Advertisement -

Sebanyak RM297.020 bilion yang diperuntukkan bagi Belanjawan 2020, berbanding RM314.55 bilion dalam Belanjawan 2019.

Menurut Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim, pengurangan peruntukan adalah satu langkah sangat baik, bagi mengurangkan beban negara secara asasnya.

“Belanjawan yang terbaik adalah belanjawan yang seimbang dengan melihat kepada keadaan ekonomi semasa.

“Namun dari segi pembangunan sepatutnya lebih terperinci peruntukannya kerana pembangunan ini sangat penting dalam menggerakkan ekonomi negara.

“Kalau peruntukan pembangunan ini dirancang dengan betul, ia akan memberi keuntungan kepada negara dan rakyat hasil daripada perancangan yang tepat,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen selepas berakhirnya pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen.

Jelasnya, dalam keadaan ekonomi Malaysia sekarang, kerajaan perlu menggerakkan pembangunan ekonomi lebih mampan dengan melancarkan projek yang boleh menggerakkan seluruh aktiviti  ekonomi.

Dalam masa yang sama, katanya berperanan dalam membangunkan negara termasuk projek yang terus memberi efek yang besar kepada negara.– HARAKAHDAILY 12/10/2019

- Advertisement -