Dua perkara perlu diambil serius tetapi buat lupa

KHALIL3
- Advertisement -

ADA dua perkara menarik yang seharusnya diambil serius oleh kita namun mungkin kegawatan politik yang melanda negara saat ini membuat kita lupa perkara tersebut. Kita semua sedia maklum manifesto PH ketika PRU yang lalu, namun kita harus sedar bagaimana PH memanipulasi rakyat untuk percaya kepada mereka dengan manifesto palsu tersebut. Tujuan utama mereka hanya untuk menang PRU, sekarang kita sendiri lihat dan dengar bagaimana mereka memberi 1001 alasan untuk tidak melaksanakan manifesto mereka kerana mereka sebenarnya sedar mereka tidak mampu menunaikannya.

- Advertisement -

Antaranya ialah menyediakan 1 juta peluang pekerjaan kepada rakyat jelata jika menang PRU14. Namun dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia baru-baru ini saya tidak nampak bagaimana ia mampu direalisasikan walaupun hampir 2 tahun memerintah. Dari Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 24,600 pekerja telah diberhentikan oleh majikan sebagaimana yang telah diumumkan menteri. Ini tidak termasuk untuk tahun 2018 bermula dari Januari hingga Disember, seramai 21,532 pekerja telah diberhentikan oleh majikan di seluruh negara. Saya juga yakin angka tersebut lebih besar jika diambil kira impak rantaian pekerjaan akibat penutupan sesebuah perusahaan mahupun agensi seperti kebergantungan sebuah industri kecil atau PKS kepada sesebuah perusahaan yang besar atau agensi yang lain.

Seperkara lagi iaitu penantian rakyat terhadap penurunan harga petrol sepertimana janji mereka ketika PRU14. Walaupun ramai pemimpin PH menafikan mereka berjanji untuk menurunkan harga petrol kepada RM1.50 sehari selepas menang PRU, kita semua dapat lihat video ucapan mereka yang tersebar di Youtube dan Facebook yang beria-ia mengatakan sebegitu. Namun secara umumnya memang PH berjanji akan turunkan harga petrol selepas menang PRU. Namun penantian rakyat hampa apabila Menteri KPDNHEP mengumumkan Program Subsidi Petrol (PSP) yang ternyata tidak berdaya saing dan mampan terutamanya untuk rakyat berpendapatan rendah dan subsidi terbabit pula hanya untuk Semenanjung sahaja.

PAS tidak menolak polisi mahupun agenda yang membawa kebaikan kepada rakyat namun dengan pengumuman PSP, dirasakan ia tidak mencapai objektif tersebut dan bahawa kerajaan perlu mengkaji semula secara lebih mendalam dan rasional. Lagipun apabila PSP dilaksanakan, harga minyak RON 95 akan diapungkan semula mengikut harga pasaran dunia dan tidak ditetapkan harganya sebagaimana sekarang iaitu pada RM2.08 seliter. Soalnya, bagaimana jika harga pasaran minyak dunia meningkat secara mendadak, tidakkah akan berlaku kenaikan harga di pasaran petroleum tempatan terutamanya RON 95? Nampaknya, ramai rakyat yang kecewa harga minyak tidak turun sehingga RM1.50 seliter.

Sekali lagi Kerajaan PH tidak mampu menunaikan janji manifestonya dan menghampakan rakyat dan saya percaya ramai di kalangan rakyat sekalian kecewa dengan Kerajaan PH termasuk yang mengundi PH pada PRU yang lalu.

Oleh itu saya mengajak sekalian rakyat agar memberikan sokongan kepada PAS, Umno, MCA, MIC dan parti politik yang bersama dalam gagasan ini. Kami percaya kami mampu membawa perubahan kepada rakyat dan akan lebih baik dari Kerajaan PH. Oleh itu untuk PRK Tanjung Piai di Johor, tolaklah PH dan undilah selain dari PH. Kita berikan signal jelas bahawa PH sudah ditolak oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 11/10/2019

- Advertisement -