DAP sewajarnya sokong PDRM perangi keganasan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil maklum mengenai penangkapan PDRM terhadap dua orang pimpinan DAP yang merupakan Adun Negeri Sembilan dan Exco Kerjaan Negeri Melaka. Mereka ditangkap kerana didakwa terlibat dalam pertubuhan pengganas iaitu Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

- Advertisement -

DPPM melihat tindakan PDRM dalam usaha pencegahan keganasan wajar disokong semua. Ini kerana extrimisme merupakan virus yang harus dihapuskan segera kerana ia merupakan ancaman kepada masyarakat dan negara. Apatah lagi sekiranya ia melibatkan mereka yang bertaraf pemimpin politik dan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

DPPM yakin bahawa PDRM telah melakukan kajian terperinci dengan maklumat yang lengkap sebelum tangkapan dibuat. Ini kerana setiap tindakan yang dibuat oleh Pasukan Anti-Pengganas pasti mempunyai SOP mereka tersendiri. Seperti mana kerjasama pada pihak polis dalam penangkapan anggota DAESH, kerjasama yang sama harus diberikan dalam kes tangkapan berkaitan LTTE.

LTTE merupakan pertubuhan bersenjata yang berpangkalan di Sri Lanka sejak 1976, dilaporkan telah terlibat dalam pelbagai siri serangan awam termasuk yang melibatkan pengeboman berani mati terhadap Perdana Menteri India. Mereka mendakwa membawa agenda perjuangan hak bangsa tamil di Sri Lanka sehingga meletuskan peperangan dengan pihak tentera Sri Lanka. Malangnya, dilaporkan sepanjang peperangan pada 1990 – 2009, lebih 700,000 terbunuh yang mana hampir kesemuanya merupakan rakyat Sri Lanka.

DPPM ingin mempersoalkan keperluan perjuangan LTTE di Malaysia. Mengapa perlu ada penglibatan rakyat Malaysia apatah lagi pimpinan politik Malaysia dalam pertubuhan bersenjata di negara lain? Bukankah pengaruh negatif dan berbahaya akan berlaku sekiranya naratif yang sama cuba dibawa sekali gus membawa kepada aktiviti keganasan atas nama perjuangan hak?

DPPM percaya perkara yang berkait keganasan dan ekstrimisme adalah perkara yang rentas agama. Ia boleh saja berlaku pada mana-mana bangsa dan agama sekiranya ideologi itu menyerap masuk dalam pemikiran suatu kumpulan. Maka atas dasar langkah pencegahan, tindakan PDRM wajar disokong semua pihak termasuk oleh DAP sendiri.

“Demi Islam”

IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/10/2019

- Advertisement -