Adiwira, watak penyelamat

- Advertisement -

RASANYA semua orang pernah menonton filem pertama Superman pada tahun 1978, dengan menampilkan pelakon utamanya Christopher Reeves dan Gene Hackman. Mungkin Superman ini, adalah yang pertama berkonsepkan adiwira, penyelamat dunia atau apa yang kita panggil ‘super hero’ yang seumpamanya dibuat dalam bentuk filem. Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di seluruh dunia. Hinggakan ada berita melaporkan bahawa terdapat kanak-kanak yang mati terjatuh dari tempat tinggi kerana mahu mencuba untuk terbang.
 
Selain itu ada banyak lagi watak-watak adiwira yang muncul selepas kejayaan Superman itu. Jika di TV, disiarkan drama seperti The Greatest American Hero. Kemudian keluar pula wira penyelamat seperti Spiderman, Batman, Captain America, Hulk, Splash atau Six Million Dollars Man. Tidak terhenti kepada lelaki sahaja, wanita juga mempunyai adiwira mereka seperti Super Woman, Wonder Woman, Bionic Woman dan ramai lagi. Tentu sahaja mereka seperti dalam filem, membantu orang dalam kesusahan.
 
Jepun juga tidak mahu ketinggalan dengan menampilkan wira mereka yang paling ulung, Ultraman. Entah berapa generasi Ultraman yang mereka ada, tapi dari datuk, sampai ke cicit, hampir sama rupanya. Yang beza ialah tanduk atau lampu-lampu yang sedikit berlainan, mungkin. Kostum tetap bentuk yang sama dengan baju yang berzip di belakang. Ada lagi, Space Cop Gaban dan juga Satria Baja Hitam. Masing-masing ada peminatnya.
 
Apa yang menarik dengan watak-watak ini ialah, mereka akan segera bertindak menyelamatkan keadaan apabila mendapat isyarat kecemasan. Mungkin Batman yang agak lambat kerana terpaksa mengambil kenderaan dahulu, menunggu si Robin lagi. Manakala yang lain, amat pantas bertindak. Superman hanya memerlukan pondok telefon untuk bertukar, sehinggakan seluar dalam pun tak sempat dipakai di sebelah dalamnya, membayangkan betapa pantasnya dia. Spiderman juga pantas. Mungkin paling pantas, Space Cop Gaban kerana hanya memerlukan beberapa mili saat untuk bertukar. Terpaksa dibuat ulangan dalam gambar perlahan bagi adegan dia bertukar itu.
 
Itu adiwira di dalam filem. Kita tidak mempercayai akan kehebatan mereka itu, sekadar hiburan ianya boleh diterima. Mana ada orang boleh terbang, melekat di dinding, tembak tidak lut, kereta boleh panjat dinding, besi jadi pakaian, datang tiba-tiba pulak itu, menyaluti badan, mengeluarkan api dari tangan, menjadi besar secara tiba-tiba. Tidak akan kita percaya semua ini.
 
Tetapi, walaupun begitu, tetap ada yang cuba menjadi adiwira walau tidak mempunyai kuasa luar biasa seperti itu. Mereka sedaya upaya menggunakan segala kemahiran dan kekuatan yang ada bagi menyelamatkan orang lain. Kesungguhan mereka perlu dipuji, sanggup membakar diri bagi kesenangan orang lain. Ini adalah nilai yang sangat mulia sebagai seorang manusia.
 
Nyata, Malaysia tidak ketandusan adiwira sebegini. Semalam negara kita menjadi gempar, setelah dua orang Adun DAP ditahan PDRM di bawah akta SOSMA. Mereka dituduh menyokong gerakan LTTE iaitu satu pertubuhan yang dikatakan sebagai paling ganas di dunia. Maka, rakyat Malaysia yang waras, segera mendesak kerajaan agar menyiasat keseluruhan organisasi DAP yang terdahulu juga ada juga dikaitkan dengan Komunis.
 
Siapa adiwiranya? Adiwiranya nun jauh di Kluang. Bukan, bukan Kluang Man, tetapi dipercayai sekumpulan ahli PAN. Dengan pantas, segera tersebar video mereka sedang berperang sesama mereka kerana kononnya tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat mereka. Malah dikatakan ahli di tempat mereka itu secara tiba-tiba, naik mendadak. Saya percaya, perkelahian ini mungkin ada sedikit sebanyak cuba mempengaruhi negara dengan adegan melempar fail, menghempas kerusi meja, menengking serta membubarkan mesyuarat mereka.
 
Mungkin dengan drama perbalahan mereka ini, akan membantu mengalihkan perhatian rakyat kepada isu tangkapan pimpinan DAP ini, iaitu bos mereka. Sikap kekhadaman mereka amatlah disanjungi, bagaikan adiwira, pantas bertindak meleraikan kekusutan tuan mereka dengan mengorbankan diri mereka sahaja agar dilihat tidak terurus dan bukan tuan mereka. Sesiapa sahaja, akan percaya dengan lakonan ini. Amat bertuah mereka memiliki ahli dan pimpinan yang genius serta tepat dan cepat bertindak.

Akan tetapi, mana mungkin parti yang melimpah dengan golongan professional berkelahi sedemikian, menjadi tontonan manusia, bagaikan kucing jantan berebut kucing betina? Malah, begitu pantas video ini tersebar, sedangkan dunia mengetahui bahawa mereka amat amanah dalam menjaga hal-hal sulit dan konfidensial isu dalaman mereka. Apa pula mesyuarat seperti ini, mereka sudah pastilah, tidak akan membocorkannya seperti parti lama mereka yang sentiasa memerlukan lampin khas bagi menahan kebocoran mesyuarat mereka.
 
Jadi amatlah mudah difahami akan kelakuan mereka itu, tidak sekadar menjadi adiwira menyelamatkan tuannya, tetapi juga, jauh dari itu, lakonan mereka ini mungkin juga akan menyelamatkan pemerintahan PH secara keseluruhannya. Inilah layaknya mereka digelar adiwira PH. Sikap professional mereka ini, tidak dapat dibaca oleh khalayak ramai. Rakyat hanya tahu ketawa, tapi gagal membaca apa yang tersirat atas perbuatan mereka. Saya yakin, ini hanyalah lakonan mereka. Bravo PAN…!
 
MOHD NASIR ABDULLAH
11 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 11/10/2019

- Advertisement -


PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -