Khidmat Malaysia sedia hadapi kemungkinan banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat Malaysia mengarahkan seluruh jentera dan agensi yang terbabit dengan bencana banjir bersiap sedia untuk berdepan dengan bencana banjir sekiranya ia berlaku ketika perubahan angin monsun yang dijangka berterusan hingga awal November sehingga ke bulan Mac tahun hadapan.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya pada 1 Oktober yang lalu memaklumkan Oktober merupakan tempoh peralihan monsun.

“Semasa tempoh peralihan monsun ini, kebanyakan kawasan di negara akan menerima tiupan angin lemah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Monsun Timur Laut dijangka bermula pada awal November 2019 dan berakhir pada Mac 2020.

Semasa tempoh monsun itu, katanya beberapa episod hujan lebat monsun yang menyeluruh dijangka berlaku terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, Bilik Gerakan #InfoBencana di peringkat Khidmat Malaysia Pusat akan dibuka pengoperasiannya pada pertengahan bulan ini bagi memudahkan pengurusan maklumat di semua peringkat.

Sehubungan itu, kata beliau Khidmat Malaysia di peringkat negeri-negeri mestilah menyegerakan mesyuarat penyelarasan dan membuka Bilik Gerakan Banjir dengan sesegera mungkin sebelum berlakunya bencana.

Segala maklumat berkaitan info banjir akan dikemaskini di dalam Facebook Khidmat Malaysia (khidmat.malaysia.2015) atau boleh berhubung dengan talian hotline #InfoBencana Khidmat Malaysia di talian 010-8006625. – HARAKAHDAILY 10/10/2019

- Advertisement -