Kemiskinan masih isu besar untuk diatasi k’jaan

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Status Malaysia yang diletakkan kerajaan sebagai negara berpendapatan pertengahan tinggi dengan statistik kadar kemiskinan hanya 0.4 peratus adalah tidak munasabah.

    - Advertisement -

    Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sedangkan negara maju seperti Jepun pun kadar kemiskinannya 16 peratus, bahkan angka tersebut telah dipertikaikan pakar antarabangsa.

    Kajian oleh Pemantau Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia, Philip Alston menghujahkan perkara tersebut sebagai tidak realistik, baru-baru ini.

    Tuan Ibrahim mengemukakan perkara itu ketika berucap di Majlis Hi-Tea Dana Pembangunan SRITI di Dewan Terbuka Pondok PAKAT, Kota Lama, di sini kelmarin dahulu.

    Gesa beliau, kerajaan mesti memberi perhatian kepada nasib rakyat yang miskin dan kunci kejayaan pentadbiran terbaik adalah kembali semula kepada Islam.

    Kerana itulah jelasnya, pendidikan antara elemen yang sangat perlu diberi perhatian dan fokus kerana ianya adalah pelaburan tidak merugikan selain ke arah pembinaan generasi masa depan.

    Apatah lagi katanya, jika pendidikan yang diusahakan itu melahirkan generasi soleh dan memimpin manusia kepada perintah Allah S.W.T, namun sebaliknya berlaku jika tiada suasana tarbiyah.

    Atas sebab itu, PAS menurutnya, terjun dalam bidang pendidikan dan berjaya melahirkan produk-produk yang menjadi model dan contoh bermula dengan tadika PASTI, seterusnya SRITI dan juga SMITI.

    Program yang bertujuan mengumpul dana bagi membina Bangunan SRITI di Kuala Kangsar ini mendapat sambutan yang luar biasa dan berjaya mengumpulkan lebih RM18,000.

    Bangunan ini memerlukan kos pembinaan berjumlah RM2.4 Juta yang akan dibina di Bukit Chandan di mana kini 200 murid ditempatkan di bangunan sewa yang perlu dibayar RM2,000 setiap bulan.

    Menurut Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam, sudah tiba masanya untuk pihaknya memiliki bangunan sendiri  memandangkan peningkatan jumlah murid-murid tahun demi tahun.

    Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Faisal Mohd Puait serta Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Dato’ Drs Khalil Idham Lim.

    Juga hadir sama Adun Manong, Mohd Zuraimi Razali dan Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

    Orang ramai boleh memberi sumbangan dengan menyalurkan ke dalam akaun RHB Bank atas nama Tabung Pendidikan Sekolah Agama Kuala Kangsar 25818700010040. – HARAKAHDAILY 9/10/2019

    - Advertisement -