Kebersamaan Pemuda GS dan BN Selangor

    - Advertisement -

    SHAH ALAM: Satu pertemuan bersejarah melibatkan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera bersama parti-parti komponen Barisan Nasional telah diadakan di Bangunan Umno Selangor, di sini malam tadi.

    - Advertisement -

    Pertemuan tersebut merupakan kesinambungan dalam menyemarakkan lagi usaha Muafakat Nasional yang telah dimeterai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

    Muafakat Nasional antara Pemuda bukan kerajaan di negeri Selangor tersebut diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli dan Ketua Pemuda Negeri Selangor, Rizam Ismail.

    Turut hadir bersama dari parti Gagasan Sejahtera iaitu Ketua Pemuda IKATAN Selangor, Aifaa Zaffan Bagauddin dan juga pemangku Ketua Pemuda BERJASA Selangor, Firdaus Hamdan.

    Dari parti komponen BN pula ialah Ketua MIC Selangor, Ritheran Renganathan, manakala Pemuda MCA Selangor diwakili oleh Setiausahanya, Sdr Gan Kang Kai bersama delegasi.

    Pertemuan bersejarah tersebut menyaksikan kesungguhan dan komitmen keenam-enam Ketua Pemuda parti tersebut bagi menjuarai isu di Selangor bagi membela nasib dan kebajikan rakyat di negeri ini.

    Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dun Selangor berkata, Kerajaan PH hari ini terlalu banyak isu, namun disenyapkan oleh kerajaan sehingga rakyat tidak mengetahuinya.

    Malah ujarnya, dengan kepincangan hubungan antara parti-parti dalam PH menjadikan nasib rakyat diperjudikan demi survival kepentingan politik tertentu.

    Ustaz Hanafi pula menegaskan, untuk memastikan jalinan kerjasama antara parti-parti bukan kerajaan menerusi Muafakat Nasional, maka perlunya kesepakatan yang serius dari setiap parti.

    Tanpa kesepakatan ini, rakyat tidak akan yakin dengan kerjasama yang dibentuk sedangkan rakyat sedang menantikan sesuatu dari Muafakat Nasional ini selepas PH yang ada hari ini gagal memenuhi hasrat rakyat.

    Beliau juga menekankan bahawa kerjasama semua parti menerusi Muafakat Nasional ini mesti menunjukkan model politik yang meyakinkan rakyat dalam membina keharmonian antara pelbagai kaum.

    “Inilah yang dicari-cari oleh rakyat namun tiada di bawah pentadbiran Kerajaan PH pada hari ini,” ujarnya.

    Hasil pertemuan tersebut, semua parti mencapai kesepakatan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bertindak bagi menangani dan membela satu-satu isu yang muncul khususnya di negeri Selangor ini.

    Satu pertemuan khusus akan diadakan bagi membincangkan secara lumat mengenai dasar, kerangka kerja dan mekanisme tindakan menerusi jawatankuasa khas bertindak ini dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 9/10/2019

    - Advertisement -