Pendekatan politik muafakat bakal pengaruhi dunia

    - Advertisement -

    TAPAH: Penyatuan Ummah antara PAS dan Umno yang memeterai Piagam Muafakat Nasional bukan sahaja bakal memberi impak besar kepada rakyat dan negara ini, tetapi juga politik dunia sejagat.

    - Advertisement -

    Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan PAS dan Umno setelah lebih 60 tahun bermusuhan di medan politik telah mendapat perhatian media utama di negara Arab.

    Menurutnya, umat Islam yang kekuatannya dihancurkan oleh perang proksi seperti di Iraq, Syria dan Yaman atas pertembungan kerana dilagakan kuasa besar, mulai mengambil iktibar daripada penyatuan itu.

    Jelas beliau, PAS telah memberi mesej bahawa penyatuan ummah adalah pendekatan politik bersifat terbuka dan dinamik, malah menolak politik yang membawa kepada kehancuran apatah lagi sesama sendiri.

    Perkara tersebut menjadi antara intipati penting dinyatakan beliau pada Ceramah Mega Penerangan Isu-isu Semasa di Pekarangan Pejabat PAS Cawangan Tapah Road, di sini kelmarin.

    Hadir sama menyampaikan ceramah adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir.

    Terdahulu, Dato’ Tuan Ibrahim telah merasmikan pejabat tersebut dan menyempurnakan tahnik bayi kepada pasangan Mohd Irshad Mohd Yusuf dan Nur Fatiha Awatif Turiman. – HARAKAHDAILY 8/10/2019

    - Advertisement -