Mansuh RUU Antiberita Tidak Benar langkah ke belakang

fadli shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan kerajaan untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar adalah satu langkah ke belakang.

- Advertisement -

Katanya, negara luar bergerak ke hadapan dalam menggubal undang-undang bagi memastikan berita tidak benar dan fitnah tidak tersebar luas dalam masyarakat.

“Memansuhkan akta (berita tidak benar) ini sebenarnya kita telah berundur kebelakang berbanding negara maju lain di seluruh dunia.

“Sebagai contoh Singapura, yang mana pada 1 April lepas telah meluluskan undang-undang untuk memerangi berita palsu dalam talian.

“Di bawah undang-undang yang dibentangkan, mereka yang menyebarkan kepalsuan dengan niat jahat dan membahayakan kepentingan awam akan dihukum penjara 30 tahun,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya, penyebaran berita palsu boleh mengancam keselamatan negara dan mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

Dengan sebab itu, katanya PAS konsisten menyokong undang-undang tersebut sejak diperkenalkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sehingga detik ini dan menentang sebarang pemansuhan.

“Akta anti berita tidak benar ini perlu diteruskan dan tidak boleh dimansuhkan sama sekali.

“Hal ini kerana PAS sekian lama menjadi mangsa fitnah oleh pesaing politik,” tegasnya.– HARAKAHDAILY 8/10/2019

- Advertisement -